PONTIAN: “Dahulu 10 tahun setengah saya keluar masuk penjara, sekarang bilik itu (Penjara Sungai Buloh) kosong, nasib kamu pula!”

Demikian gurauan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sewaktu menyentuh kes pendakwaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang diperintah membela diri hari ini terhadap tujuh pertuduhan berkaitan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Anwar berkata, keputusan mahkamah memerintah Najib membela diri terhadap pertuduhan kes syarikat berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu dianggap satu permulaan baik dalam memberi keadilan kepada rakyat.

Meskipun mengakui tidak sabar menunggu pemimpin seperti Najib dijatuhkan hukuman setimpal, Anwar menegaskan Pakatan Harapan (PH) dan rakyat perlu mengikut proses perundangan sedia ada.

“Saya jelaskan mengapa kita perlu pertahankan PH pada pilihan raya kecil (PRK) Tanjung Piai. Kita bukan datang sini hendak buat propaganda semua benda kita sudah buat… kerana semua perkara (penambahbaikan) perlu ambil masa.

“Kita tidak boleh ubah negara sekelip mata… Tetapi kita ada proses undang-undang dan kita kena ikut,” katanya sewaktu menyampaikan ceramah PH sempena PRK Parlimen Tanjung Piai di sini malam ini.

Dalam perkembangan lain, Anwar turut menegaskan parti politik adalah forum mengangkat martabat rakyat.

Menurutnya, parti politik bukan sekadar pihak bekerja kuat sebelum pilihan raya selepas itu hilang.

“Sebab itu sekarang kita kena bagi ruang PH hendak betulkan kerajaan… kena bagi ruang dan sokongan kepada (Perdana Menteri) Tun Dr Mahathir (Mohamad) supaya politik aman.

Mahkamah Tinggi pada Isnin memerintahkan Najib membela diri dalam tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta daripada dana SRC International Sdn Bhd.

Keputusan itu disampaikan oleh Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali semalam.

Hakim berkata, pihak pendakwaan telah berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas perdana menteri itu dengan bukti-bukti yang boleh dipercayai.





Source link