PUTRAJAYA: Kerajaan akan memastikan infrastruktur sokongan lengkap untuk menjadikan impian 30 peratus penyertaan wanita dalam semua sektor tercapai.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh berkata, isu itu akan dimulakan dalam penglibatan politik terlebih dahulu.

“Untuk semua ini kita kena pastikan ada infrastruktur sokongan dan peluang diberikan kepada mereka. Bila bercakap mengenai kuota wanita, ia seperti bidalan ayam dan telur.

“Kena mula di satu titik, kita hendak sediakan latihan. Macam sekarang ini kita hendak buat penglibatan politik dahulu, kalau anda hendak 30 peratus Ahli Parlimen, kena tengok ADUN dahulu, untuk ADUN pula kena tengok ahli majlis.

“Beri informasi supaya mereka efektif semasa buat kerja. Kalau tidak ada data dan dia hendak buat program kesedaran, tidak tepat sasaran,” katanya semasa sidang media selepas berucap pada sesi town hall KPWKM bersama ahli-ahli majlis wanita pihak berkuasa tempatan (PBT) di sini, pada Jumaat.

Seramai 164 dari 432 ahli majlis wanita PBT seluruh dunia hadir pada sesi berkenaan.

Hasil dapatan 30percentclub mendapati wanita negara ini mencatat 26.9 peratus pegangan dalam 100 syarikat teratas di Bursa Malaysia.

Angka itu mewakili 229 daripada 851 pengarah di kalangan pelbagai lembaga dan syarikat dalam negara.

Dalam pada itu kata Hannah, kementeriannya akan menambah bilangan taska seiring peningkatan peruntukan dari RM10 juta ke RM30 juta tahun hadapan.

Jelasnya, sasaran 200 lagi lokasi pembinaan taska baharu itu juga akan memberikan tumpuan di sektor pekerjaan barisan hadapan yang bekerja shif seperti di balai dan juga hospital.





Source link