PUTRAJAYA: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir menjelaskan beliau terkejut akan reaksi Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang terkejut mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengarahkannya membela diri dalam kes SRC International Sdn Bhd.

Sebaliknya ujar Tun Dr Mahathir, seluruh dunia tahu bahawa bekas perdana menteri itu bersalah namun perlu mengikut kedaulatan undang-undang.

“Saya terkejut yang dia (Najib) terkejut, seluruh dunia tahu bahawa Najib bersalah tetapi kita mengikut kedaulatan undang-undang. Kita hantar dia (Najib) ke Mahkamah untuk menentukan sama ada dia ada kes atau tidak. Sesi pendengaran juga mengambil masa beberapa bulan itu cara kita sebagai sebuah kerajaan,” ujar beliau.

Tambah Tun Dr Mahathir, ketika pemerintahan terdahulu beberapa tindakan yang tidak mengikut kedaulatan undang-undang juga pernah diambil.

“Tidak seperti waktu mereka memerintah, sewenang-wenangnya menahan Bakthiar dan Datuk Khairuddin… sebab itu cara mereka, tanpa beri penjelasan. Beliau (Najib) mendapat sesi pendengaran yang baik, dibenarkan bebas untuk berkempen walaupun mempunyai masalah mata tetapi bila berkempen ‘okay’,” katanya.

Jelas Tun Dr Mahahtir, kerajaan Pakatan Harapan sangat tegas dan mengikut kedaulatan undang-undang.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Harapan di Putrajaya pada Isnin.





Source link