PUTRAJAYA: Tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah pondok yang tidak berdaftar disaran untuk berbuat demikian bagi mendapatkan bantuan kerajaan berjumlah RM100 juta yang disalurkan Kementerian Kewangan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa berkata, pihaknya akan menyemak permohonan bantuan bermula Februari ini.

“(Yang berdaftar) untuk tahfiz kita ada 1,026 buah dan sekolah agama negeri, sekolah agama rakyat, swasta dan persekutuan kita ada 1,880 buah. Ini syarat paling utama di mana rakyat utama mestilah berdaftar dengan semua majlis agama negeri masing-masing.

“Bagaimanapun, kami tetap memantau dan menggalakkan mana-mana yang tidak berdaftar untuk berdaftar dan melayakkan mereka untuk mendapat bantuan,” katanya dalam sidang media selepas menerima peruntukan RM100 juta bagi menyelenggara dan menaik taraf sekolah tahfiz, sekolah agama rakyat dan sekolah pondok daripada Menteri Kewangan, Lim Guan Eng di Kementerian Kewangan di sini pada Rabu.

Tambahnya, penyaluran peruntukan berkenaan dijangka bermula Mac dan disalurkan sepenuhnya kepada institusi yang layak selewat-lewatnya November.

“Dalam Februari kita akan tengok permohonan. Terima kasih Kementerian Kewangan beri peruntukan lebih awal sebab kalau bagi lewat kita tak boleh nak laksanakan semua. Kami jangka pelaksanaannya seawal bulan Mac sudah boleh laksanakan apa sahaja keperluan.

“Sasaran kita sehingga Oktober hingga November sudah selesai urusan penyaluran peruntukan. Saya ingin jelaskan komitmen bajet baru ini adalah kekuatan dalam bidang saya untuk pastikan peruntukan sampai secara berkesan,” ujar beliau.

Semasa Belanjawan 2020, Guan Eng mengumumkan peruntukan RM735 juta untuk penyelenggaraan dan naik taraf sekolah termasuk untuk tahfiz sebanyak RM50 juta, Sekolah Agama Rakyat Persendirian sebanyak RM25 juta, dan sekolah pondok sebanyak RM25 juta.




Source link