[ad_1]

PUTRAJAYA: Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menekankan keperluan semua agensi di bawah kementeriannya menubuhkan jawatankuasa tender dan audit bagi memastikan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan geran.

Bercakap pada perjumpaan bersama pengerusi, ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), di sini hari ini, beliau berkata jawatankuasa perundangan juga perlu diwujudkan bergantung kepada kesesuaian di agensi masing-masing.

Dari segi keanggotaan, katanya, selain wakil agensi, setiap jawatankuasa berkenaan perlu mempunyai wakil dari kementerian dan pakar dalam bidang berkaitan.

“Had bidang kuasa juga perlu dipatuhi, misalnya, pengerusi lembaga pengarah tidak boleh mempengerusikan jawatankuasa tender atau audit. Ini contoh yang paling mudah, norma biasa,” katanya.

Dalam aspek kelulusan geran, beliau berkata kriteria permohonan yang ditetapkan perlu inklusif bagi memastikan setiap segmen masyarakat diambil kira seperti gender, etnik, golongan minoriti serta Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.

“Kita juga perlu memastikan golongan muda mendapat peluang saksama. Ada waktunya mereka berhadapan banyak kekangan yang menyebabkan mereka sukar untuk mendapatkan geran, jadi jangan kita menyukarkan mereka,” katanya.

Mengenai Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) melibatkan agensi di bawah KKMM, Saifuddin berharap peruntukan di bawah pelan itu digunakan secepat mungkin mengikut tatacara sebaik-baiknya.

Pada perjumpaan tersebut beliau turut menekankan mengenai kepentingan hubungan rapat antara agensi dengan KKMM bagi memastikan tidak berlaku salah faham atau pertindihan kerja antara agensi.

“Kerja kita ada masa bertindih, contohnya apabila kita bercerita soal keselamatan siber, pelbagai agensi terlibat seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), CyberSecurity Malaysia dan lebih daripada satu bahagian di kementerian terlibat juga. Jadi kita harus memastikan hubungan akrab antara KKMM dan agensi-agensi,” kata Saifuddin.

Beliau berkata pengerusi dan ahli-ahli lembaga pengarah juga perlu mempunyai hubungan akrab dengan pihak pengurusan agensi bagi memastikan tadbir urus yang cekap.

Dalam pada itu, Saifuddin turut berharap semua agensi di bawah kementerian memberi perhatian kepada Pelan Strategik KKMM 2019-2029 bagi merealisasikan pelan itu sebagai sebuah keluarga yang besar.

“Pelan strategik KKMM adalah pelan strategik setiap satu daripada agensi yang bernaung di bawah KKMM,” katanya.

Perjumpaan itu dihadiri oleh pengerusi, ahli lembaga pengarah dan ketua pegawai eksekutif dari tujuh agensi di bawah KKMM iaitu Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (BERNAMA), SKMM, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Malaysia Network Information Centre (MYNIC), CyberSecurity Malaysia dan My Creative Ventures.

Antara yang hadir ialah Pengerusi BERNAMA, Suhaimi Sulaiman, Pengerusi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, Pengerusi FINAS, Zakaria Abdul Hamid, Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri dan Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif dan Ketua Pengarang BERNAMA, Datuk Mokhtar Hussain.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link