KUALA LUMPUR: Pemain industri pemasaran perlu memainkan peranan penting dalam era berita palsu dan sensasi yang kerap dikongsi di media sosial.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo, menegaskan, sebagai sebuah negara yang mempunyai demografi perniagaan dinamik, Malaysia perlu menunjukkan contoh strategi pemasaran yang bukan sahaja berkesan, tetapi boleh dipercayai.

“Industri pemasaran mempunyai peranan penting untuk dimainkan di sini, kerana saya percaya kesahihan dan keaslian adalah mantra baharu dalam jangkauan dan keterlibatan dengan pengguna.

“Terdapat peningkatan trend ke arah menjalinkan hubungan yang lebih rapat antara usahawan dan pengguna, dan dengan media sosial, masyarakat akan berkongsi tentang produk atau perniagaan jika mereka mendapati ia jujur dan meyakinkan,” kata Gobind.

Pengenalan 5G juga dilihat akan meningkatkan lagi digitalisasi dan pertumbuhan sektor perindustrian baharu, di samping menambah aliran pendapatan, dengan perbelanjaan pengiklanan digital untuk suku pertama ini tahun sahaja mencecah RM335 juta.

Beliau berkata demikian ketika memberi ucapan sewaktu hadir sebagai tetamu kehormat di malam Anugerah CMO Malaysia 2019 di ibu negara, pada Jumaat.

Mempertandingkan 30 kategori, ia memberi pengiktirafan kepada pemain industri pemasaran yang paling berkebolehan, telus dan mempunyai daya kepimpinan tertinggi sebagai penerima anugerah.





Source link