KUALA LUMPUR: Susulan kejadian runtuhan struktur bangunan di Taman Desa pada Jumaat, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin menegaskan bahawa siasatan terperinci akan dijalankan di lokasi kejadian.

Jelasnya ketika ditemui media di lokasi kejadian, siasatan akan melibatkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) dan Jabatan Perumahan Negara (JPN).

“Esok (Sabtu) saya akan rujuk kepada Menteri Wilayah Persekutan Khalid Abdul Samad, Jabatan Perumahan Negara dan Jabatan Keselamatan… dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) juga ada di sini yang telah mengambil bukti awal dan sebagainya.

“Mereka akan jalankan siasatan kejadian hari ini (Jumaat), esok saya akan koordinasi dengan Menteri Wilayah Persekutuan, bagaimana pada awal projek ini, adakah ia mengikut proses yang betul dan juga spesifikasinya,” kata Zuraida

Tambahnya, jika sesebuah bangunan itu tidak selamat, maka tindakan tegas akan diambil terhadap pihak yang terlibat terutamanya pemaju pembinaan.

“Kalau kita dapat laporan, rumusan dan sebagainya. Sudah tentu kita tidak akan sacrifice, kita akan pastikan bahawa projek ini kita harus ambil tindakan dan sebagainya, bagaimana keadaan itu boleh terjadi,” jelas Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu.

Sebahagian daripada struktur bangunan yang sedang dibina itu runtuh pada Jumaat dan mengakibatkan dua mangsa yang juga pekerja warganegara Bangladesh terperangkap di bawah runtuhan.

Mangsa pertama berjaya dibawa keluar kira-kira jam 5.15 petang manakala mangsa kedua pada jam 9.30 malam.

Kira-kira 150 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam (APAM) dan beberapa agensi lain turut terlibat dalam operasi itu.





Source link