BATU PAHAT: Seorang remaja lelaki berusia 17 tahun mati lemas ketika bermandi-manda bersama lapan rakannya di sebuah kolam dipercayai bekas tapak lombong di Jalan Kangkar Senangar, Parit Sulong, di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Naim Azman.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yong Peng, PBKII (Pegawai Bomba Kanan II), Ibnul Kasim Ahmad Abdul Hamid, berkata, kejadian dilaporkan kepada pihaknya pada jam 11.23 pagi sebelum sebuah jentera bersama empat anggota digegaskan ke tempat kejadian.

“Kami menggunakan kaedah ‘grappling iron’ untuk operasi pencarian dan pada jam 12.15 tengah hari, mangsa akhirnya berjaya ditemui,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya diserah kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

— BERNAMA





Source link