KUALA LUMPUR: Isu proses peralihan kuasa perlu dihentikan kerana ia dilihat mengganggu perjalanan kerajaan dalam melonjak keyakinan masyarakat dan sektor ekonomi negara ketika negara berada di bawah tampuk pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan.

Tegas Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Mahfuz Omar, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) perlu membuat keputusan bagi menentukan proses peralihan kuasa Perdana Menteri.

“Keputusan perlu dibuat oleh Majlis Presiden bagi menentukan bila dan bagaimana proses peralihan kuasa Perdana Menteri itu akan dilakukan.

“Kalau kata sampai berakhirnya sidang kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), maka sampai APEC sahajalah, jika sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) maka sehingga habis pilihan rayalah.

“Bagi saya itu adalah hak yang perlu dibincangkan sendiri oleh Majlis Presiden,” katanya ketika dihubungi oleh Astro AWANI pada Jumaat.

BACA: Polemik peralihan kuasa: Manifesto atau kredibiliti?

Beliau turut menyifatkan bahawa masih banyak perkara mustahak yang perlu dibincangkan oleh kerajaan berbanding isu peralihan kuasa kerana masyarakat tidak mementingkan siapa yang akan diangkat sebagai Perdana Menteri.

“Masyarakat dan rakyat tidak kisah, bila peralihan, dan siapa yang hendak dijadikan sebagai Perdana Menteri, bagi saya mereka inginkan sesuatu yang lebih baik.

“Tapi kalau hendak “ding-dong, ding-dong” (lengah-lengah) dalam keadaan tidak menentu ini rakyat akan bengang dan putus asa.

“Kerana rakyat melihat bahawa kerajaan ahli-ahli politik ini tidak habis-habis hendak membincangkan masalah peralihan kuasa padahal rakyat sudah beri kuasa” tambahnya.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa isu Akuan Bersumpah (SD) yang menyokong Tun Dr Mahathir menjadi PM sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 adalah sebagai khabar angin.

BACA: Anwar tidak tahu wujud akuan bersumpah halang jadi PM

BACA: Tun M tidak terlibat dalam akuan berkanun, janji serah jawatan – Anwar Ibrahim

BACA: SD sokong Tun M hanya khabar angin – Saifuddin





Source link