[ad_1]

PUTRAJAYA : Wisma Putra menasihatkan rakyat Malaysia di Rusia agar kekal di negara itu seperti yang diumumkan Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebelum ini.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Rusia akan terus mengambil langkah-langkah sewajarnya bagi membantu mereka termasuk pelajar di negara berkenaan.

“Di Rusia, bagi tempoh 28 Mac hingga 12 Mei 2020, Kerajaan Rusia telah melaksanakan arahan kawalan pergerakan yang merangkumi langkah-langkah bertujuan mengekang penyebaran virus COVID-19.

“Secara ringkasnya, antara implikasi utama arahan tersebut ke atas semua warganegara dan pemastautin di Rusia termasuk pelajar dan rakyat Malaysia di sini adalah termasuk larangan keluar rumah (kecuali atas sebab yang dibenarkan) dan juga peralihan mod pembelajaran dari sistem kelas/kuliah ke sistem pengajian jarak jauh/atas talian,” katanya dalam sidang media di sini pada Rabu.

Kerajaan bagaimanapun  tiada halangan sekiranya warganegara Malaysia bercadang untuk keluar dari Rusia dengan cara persendirian dengan tanggungan sendiri.

“Dalam kes sebegini, Wisma Putra akan membantu memudahkan urusan berkenaan termasuk berhubung dengan Kerajaan Rusia.

“Di masa seluruh dunia dilanda cabaran yang begitu hebat akibat pandemik COVID-19, di mana setiap lapisan masyarakat perlu mengharungi cabaran masing-masing, diharapkan rakyat dan pelajar Malaysia di Rusia dapat bertenang dan rasional serta tidak sekali-kali membuat pertimbangan berlandaskan maklumat di media massa semata-mata,” tambahnya.

Ketika ini, Kementeriannya telah mengaktifkan pasukan petugas khas COVID-19 di peringkat Kedutaan, membantu rakyat Malaysia meninggalkan Rusia sebelum penutupan sempadan dan pembatalan penerbangan komersial, dengan kumpulan terakhir berjaya terbang keluar pada 31 Mac 2020.

Kedua, mengaktifkan jaringan perhubungan dengan semua komuniti rakyat Malaysia di Rusia, termasuk komuniti pelajar di Moscow, Crimea, Kazan, Kamchatka, Kursk, Nizhnevartovsk, Nizhny Novgorod, Sabetta, Sakhalin, St. Petersburg, Tomsk, Volgograd, dan lain-lain lokasi serata Rusia.

Ketiga, membuat hebahan mengenai isu dan perkara penting yang wajar di beri perhatian oleh semua warga Malaysia di Rusia semasa tempoh kawalan pergerakan.

Keempat, mengadakan sesi outreach dan perbincangan secara berkala dengan pelajar dan wakil pelajar Malaysia di seluruh Rusia.

Kelima, bekerjasama dengan badan dan wakil pelajar untuk membuat pembelian dan pengedaran topeng muka, hand sanitiser dan sarung tangan kepada kumpulan pelajar yang memerlukannya.

Keenam, sentiasa memantau situasi pandemik COVID-19 di Rusia, dengan membuat laporan harian kepada ibu pejabat setiap hari.

Ketujuh, dalam situasi yang perlu, pihak kedutaan turut berhubung dengan pihak pengurusan universiti/institusi sekiranya terdapat aduan atau isu melibatkan pelajar Malaysia. 

Kelapan, bekerjasama dengan badan pelajar dan juga agensi kerajaan tempatan untuk menyelesaikan masalah visa dan permit residensi yang tidak dapat diperbaharui oleh kerana arahan kawalan pergerakan dan sentiasa berhubung rapat dengan sumber-sumber maklumat dan arahan rasmi Kerajaan Rusia termasuk Kementerian Luar Negeri, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pendidikan, Agensi Rospotrebnadzor, Agensi Rosselkhoznadzor, Kementerian Pengangkutan, Pejabat Datuk Bandar
Moscow serta pejabat organisasi antarabangsa di Moscow termasuk pejabat WHO dan juga dengan pihak kedutaan lain.



[ad_2]
Source link