Rakyat Indonesia berkabung selama tiga hari 1

PIHAK berkuasa Indonesia menyeru agar seluruh rakyat negara itu untuk mengibarkan bendera setengah tiang selama tiga hari.

Ini bagi mengenang jasa-jasa Allahyarham Bacharuddin Jusuf Habibie atau lebih dikenali sebagai BJ Habibie yang menghembuskan nafas terakhir petang Rabu.

Menurut Setiausaha Negara, Pratikno, pengibaran bendera setengah tiang itu akan dilakukan selama tiga hari bermula esok sehingga 14 September.

“Kami meminta semua masyarakat untuk mengibarkan bendera setengah tiang sehingga 14 September dan menetapkan ia sebagai Hari Berkabung selama tiga hari,” ujar Pratikno di Kementerian Sekretariat Negara, Jakarta hari ini.

Selain itu, Pratikno turut menyeru pihak-pihak kerajaan dan perlembagaan negara di dalam dan di luar negeri untuk turut mengibarkan bendera setengah tiang.

Bekas Presiden Indonesia itu meninggal dunia pada pukul 6.05 petang waktu tempatan pada usia 83 tahun semasa dirawat di Hospital Pusat Angkatan Darat Gatot Soebroto.

Menurut anak kedua Habibie, Thareq Kemal Habibie, ayahnya meninggal dunia atas sebab faktor usia.
Beliau turut menyebut faktor lainnya adalah kerana masalah lemah jantung.





Source link