Rais saran orang Melayu amal semula memakai songkok 1

SEREMBAN: Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan Tan Sri Dr Rais Yatim menyarankan agar orang Melayu mengamalkan semula pemakaian songkok sebagai identiti budaya Melayu.

Katanya, apa salahnya kalau orang Melayu kembali memakai songkok untuk identiti mereka semasa yang diperlukan atau yang melazimkan mereka untuk berjuang.

“Kita berasa bangga orang Melayu sanggup untuk berdastar, bertanjak dan bertengkolok semula. Orang Melayu dalam zaman gemilangannya memakai songkok dan mereka berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan negara dengan memakai songkok.

“Saya kira ini akan memberi lambang yang sangat meluas. Di samping kita mempunyai kegemaran untuk berdastar dan juga bertanjak, bersongkok itu bagi saya sudah sinonim dengan kemelayuan kita.

“Di samping kita memakai ketayap yang dikaitkan dengan keagamaan kita, tapi orang Arab tidak pakai songkok, yang pakai songkok adalah umat Melayu di Malaysia dan Nusantara (Indonesia, Singapura dan Selatan Thailand).

“Jadi, ini akan memberi satu gambaran identiti budaya yang kuat kepada ummah kita dan kepada penduduk yang hampir 400 juta,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutup program Tradisi Bertanjak Bersatu Negeri Sembilan anjuran Angkatan Anak Muda (Armada) Bersatu negeri di sini, pada Isnin.

BACA: Walaupun harga RM25 – RM120 seunit, songkok gaya Tun Mahathir tetap jadi pilihan!

Rais berkata memakai songkok boleh memberi semangat kesepakatan dan tanda hormat.

“Sekarang kebanyakan kita pakai songkok apabila hendak bersua dengan tuanku raja dan sultan. Jadi, apa salahnya kalau kita fesyenkan dengan memakai songkok seperti mana orang Inggeris dahulu memakai topi,” katanya.

BACA: Memelihara warisan, capal dan tanjak tarik minat golongan muda 

Sementara itu, ketika berucap pada majlis itu, Rais turut menyatakan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad akan melancarkan piagam warisan dan budaya tanah air di Muzium Islam, Kuala Lumpur Jumaat ini (20 Sept).

“Sehubungan itu, kita memohon kepada Perdana Menteri supaya memberi lindungan kepada warisan asas di tanah air kita iaitu asas orang Melayu berbudaya. Lebih kurang 20 badan bukan kerajaan (NGO) akan menyertai majlis tersebut.

Ini akan beri satu gambaran identiti budaya yang kuat kepada ummah kita dan penduduk yang hampir 400 juta.

– Rais Yatim

“Ini bererti sempena kita merayakan Hari Malaysia, orang Melayu jangan lupa di atas budaya dan warisan mereka. Apa yang kita harapkan orang Melayu tidak hilang budaya mereka dan supaya orang Melayu pandai mengolah pembudayaan hidupnya.

“Budaya bukan hanya indah dan cantik memakai pakaian Melayu, tetapi budaya bererti cara hidup dan kita ingin wujudkan cara hidup yang tinggi,” katanya.

BACA: Pakai busana Melayu imbau detik bersejarah pengisytiharan kemerdekaan

— BERNAMA





Source link