Proton, Bank Rakyat tawar skim pembiayaan istimewa kepada siswazah baharu, penjawat awam 1

KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd dan Bank Kerjasama Rakyat Malaysia Bhd (Bank Rakyat) menawarkan pakej pembiayaan istimewa kepada siswazah baharu dan penjawat awam untuk kereta Proton yang terpilih dari 15 Ogos hingga 31 Dis, 2019, yang membolehkan pembiayaan sehingga 100 peratus.

Pengeluar kereta itu berkata pakej tersebut terdiri daripada dua kadar pembiayaan istimewa, iaitu ‘An-Naqlu 1’ menawarkan 90 peratus pembiayaan bermula pada kadar yang menarik sebanyak 2.88 peratus setahun dan ‘An-Naqlu 2’ yang menyediakan 100 peratus pembiayaan bermula pada 3.30 peratus setahun.

“Tawaran itu terhad kepada rakyat Malaysia iaitu siswazah baharu berumur antara 20 dan 30 tahun, dan penjawat awam berumur 18 hingga 60 tahun untuk pembelian Proton Persona, Iriz, Exora dan Saga,” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Pengarah Jualan Korporat Proton Fazli Hisham Shukor berkata ini antara banyak kerjasama istimewa yang dirangka syarikat untuk membantu pemilikan yang mudah buat peminat Proton.

“Di bawah skim istimewa ini, Bank Rakyat menawarkan kelulusan pembiayaan yang mudah kepada pelanggan, manakala Proton menjadikannya lebih menarik dengan pakej servis percuma sehingga dua tahun, bergantung kepada model yang mereka pilih.

“Saga ditawarkan dengan servis percuma selama setahun, manakala Persona, Exora dan Iriz selama dua tahun, termasuk upah buruh dan alat ganti percuma,” katanya.

Proton berkata pelanggan juga berpeluang meraih manfaat daripada pakej insurans yang dipertingkatkan.

“Mendapat kerjasama Etiqa Takaful dan Zurich Takaful, Program Insurans Proton menyediakan perlindungan istimewa kepada pelanggan yang termasuk perlindungan penjagaan utama, elaun bantuan banjir dan perlindungan untuk semua pemandu, termasuk jaminan sifar lebihan caj untuk kereta Proton sehingga 10 tahun.

“Pelanggan yang berminat dengan pakej pembiayaan istimewa ini boleh mengunjungi semua cawangan Proton di seluruh negara, manakala syarikat yang berminat boleh menghantar permohonan mereka ke corporatesales@proton.com,” katanya.

— BERNAMA





Source link