[ad_1]

KIMANIS: Barisan Nasional (BN) menafikan terlibat dalam kejadian video mengaitkan calon pihak lawannya yang dimarahi penduduk sehingga menjadi tular sejak semalam.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, pihaknya tidak tahu menahu mengenai punca kejadian itu dan mengandaikan ianya pergaduhan di antara pihak sama.

“Saya tidak tahu insiden itu sebetulnya yang calon itu bergaduh dengan orang Warisan bukan orang Barisan (BN), jadi kalau kita mengadu domba situasi itu tidak betul.

“Selepas pergaduhan itu, orang itu dengan rela hati menyertai UMNO dan BN pula, tiada paksaan pun, dia melepaskan kemarahan dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi komen mengenai video tular mengaitkan calon Parti Warisan-PH, Datuk Karim Bujang yang dimarahi oleh seorang penduduk kampung ketika berkempen , pada Isnin.

Bagaimanapun, dalam kenyataan media Karim kepada Astro AWANI malam tadi, perkara itu sebenarnya atas salah faham dan mendedahkan si pelaku juga kecewa kerana tidak diberikan jawatan sebagai ketua kampung.

Sementara itu, ketika mengulas mengenai gambar tular mengaitkan Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang turut berlaku pada Isnin, Bung menyifatkan ianya sinonim dengan parti tersebut.

Tambahnya, meskipun Mohd Shafie sudah menafikan perkara itu dengan menyatakan kejadian sebenar adalah di lokasi berlainan dan bukannya di Kimanis, beliau yang dikenali sebagai wakil rakyat yang lantang di Dewan Rakyat seolah tidak hairan bahkan menyifatkan perkara seperti memberi wang sudah menjadi kebiasaan kepada Parti Warisan.

“Soal-soal mereka memberi duit dan sebagainya memang kerja begitu, sebab mereka tiada isu, tidak ada yang dapat mereka bangkitkan untuk rakyat Kimanis selain daripada membuat janji, beli undi, dua sahaja mereka buat, buat janji dan beli undi,” tegasnya.

Untuk rekod, PRK Kimanis kali ini menyaksikan pertembungan dua penjuru melibatkan dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Karim dan Datuk Mohamad Alamin dari Barisan Nasional (BN).



[ad_2]
Source link