PRESIDEN Somalia mengutuk serangan letupan bom melibatkan sebuah trak di pusat kawalan pemeriksaan pada Sabtu, yang mengorbankan sekurang-kurangnya 90 orang dan menyebabkan ratusan mangsa lain cedera.

Mohamed Abdullahi Mohamed mendakwa serangan tersebut didalangi kumpulan pengganas yang ada kaitan dengan Al-Qaeda, iatu Al-Shabab.

“Rakyat Somalia dan kerajaan Somalia tidak boleh dikecewakan dan tidak boleh dihalang daripada terus membangun dan membina semula negara mereka.

“Pengganas Al-Shabab ini berjuang untuk kepentingan pengganas antarabangsa.

“Mereka berada di sini untuk melakukan pembunuhan beramai-ramai dan menghalalkan darah dan harta rakyat Somalia, serta menyebabkan kerosakan dan kemusnahan,” katanya.

Letupan bom berlaku berhampiran pusat pemeriksaan dan pejabat cukai yang sibuk dengan orang ramai, termasuk bas yang membawa pelajar universiti.

Selain meragut nyawa, sekurang-kurang 125 orang cedera dalam insiden itu selepas sebuah kenderaan penuh bahan letupan meletup di Mogadishu, ibu negara Somalia.

Kebanyakan mangsa yang terbunuh merupakan pelajar universiti yang baru pulang dari kelas dan pegawai polis.

Ketua polis Somalia Abdi Hassan Hijar berkata, kenderaan itu meletup selepas polis di pusat pemeriksaan menghalangnya dari masuk ke bandar.

Sehingga kini, Al-Shabab masih belum mengeluarkan kenyataan sama ada mereka bertanggungjawab atau sebaliknya berhubung kejadian itu.




Source link