KUALA TERENGGANU: Seorang posmen yang dalam perjalanan menghantar surat maut apabila motosikal yang ditunggangnya terlanggar muatan besi di bahagian belakang sebuah lori di Kilometer 6.7 Kerteh ke Kampung Chabang, di Kerteh.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Supt Hanyan Ramlan berkata dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu mangsa Mohd Hairi Abdullah, 41, dalam perjalanan dari Kampung Chabang menghala ke Kerteh meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di kepala.

“Siasatan awal mendapati lori yang dipandu seorang lelaki berusia 45 tahun dari bahu jalan mengundur secara melintang dan memasuki laluan motosikal. Mangsa yang datang dari arah Kampung Chabang terlanggar muatan besi di bahagian belakang lori tersebut, sebelum terbabas ke kiri jalan,” katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kemaman untuk bedah siasat, katanya.

Di Hulu Terengganu, seorang mekanik maut apabila motosikal yang ditunggangnya bertembung dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 8 Jalan Kuala Berang menghala Teris.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, DSP Mohd Adli Mat Daud berkata dalam kejadian kira-kira pukul 11.15 pagi itu motosikal mangsa, Muhamad Aidilfikri Anuar, 27, dikatakan hilang kawalan sebelum masuk ke laluan bertentangan dan merempuh SUV yang datang dari arah bertentangan.

Muhamad Aidilfikri yang berasal dari Gua Musang, Kelantan dalam perjalanan ke rumah abangnya di Kuantan, Pahang meninggal dunia di tempat kejadian.

— BERNAMA





Source link