Polis tumpaskan sindiket dadah bernilai RM214,000 1

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah bernilai RM214,000 terdiri daripada dadah jenis pil ekstasi, ketamin dan juga pil erimin five.

Ketua Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Adnan Azizon berkata, pihaknya juga menahan seorang suspek lelaki berbangsa Cina berusia 21 tahun di Taman Desa Petaling, di sini.

“Hasil siasatan terhadap suspek membawa kepada dua lagi tangkapan suspek berbangsa Cina masing-masing berusia 38 dan 34 tahun ketika serbuan di apartmen Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurut Adnan, hasil serbuan polis turut merampas dadah jenis serbuk ekstasi, rokok ganja, pil ekstasi dan juga ketamin.

Pihak polis, kata beliau, juga menyita dua buah kenderaan jenis Honda CRZ dan Naza selain turut merampas wang tunai berjumlah RM926.

Barangan rampasam lain termasuk seutas jam tangan berjenama dan dua bentuk cincin.

Sementara hasil ujian air kencing terhadap ketiga-tiga suspek pula mendapati positif dadah jenis ketamin.

Kesemua suspek, kata beliau, telah direman selama tujuh hari bermula 13 September.

Menurut Adnan juga, mereka yang ditahan dipercayai bergiat aktif dalam sindiket pengedaran dadah di sekitar Lembah Klang selama tiga bulan.

Kes, kata beliau, disiasat di bawah seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya yang boleh membawa hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.





Source link