Polis buru individu hina Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong di Twitter 1

KUALA LUMPUR: Polis sedang mengesan individu yang menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk Huzir Mohamed, laporan tersebut menyebut kes penghinaan itu berlaku di laman media sosial Twitter.

“Pihak polis menerima satu laporan berhubung kes penghinaan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong.

“Siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948 oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,” katanya dalam satu kenyataan, pada Jumaat.

Bagaimanapun Huzir tidak mengulas lanjut mengenai laporan tersebut namun dipercayai mempunyai kaitan dengan beberapa individu di Twitter yang mengeluarkan komen biadap terhadap Tunku Azizah Aminah baru-baru ini sehingga dipercayai menyebabkan baginda menyahaktifkan akaun Twitternya.

Malah, ada yang menyatakan bahawa Tuanku Permaisuri Agong menyahaktifkan akaun Twitternya kerana terdapat segelintir netizen mengeluarkan komen-komen negatif tentang perkongsian baginda.





Source link