KUALA LUMPUR: Tidak puas hati selepas diminta wang untuk bertukar bilik yang kotor dipenuhi arak, dua lelaki bertindak memukul dua pekerja sebuah hotel di Bukit Bintang, Ahad lalu.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohd Fahmi Visuvanathan Abdullah,  kejadian pada pukul 4 pagi bermula apabila mangsa menerima panggilan telefon daripada suspek yang juga pelanggan hotel terbabit.

“Suspek minta untuk menukar bilik atas alasan biliknya kotor disebabkan botol arak bertaburan dan untuk melakukan demikian suspek perlu membayar sejumlah wang.

“Namun perkara itu menimbulkan ketidakpuasan hati suspek dan akibat daripada itu suspek turun bersama rakannya ke kaunter hotel seterusnya memukul mangsa dan rakan sekerjanya,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohd Fahmi berkata kedua-dua suspek telah beredar meninggalkan hotel tersebut sejurus selepas kejadian berkenaan.

“Polis telah dapat mengenal pasti seorang daripada suspek terlibat dalam kes ini dan kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 323 dan 427 Kanun Keseksaan,” jelasnya.




Source link