HANOI: Tun Dr Mahathir Mohamad tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Noi Bai, Hanoi, Vietnam pada Isnin malam bagi memulakan lawatan rasmi beliau selama tiga hari ke negara ini.

Ketibaan Perdana Menteri pada jam 8:20 malam itu disambut Menteri dan Ketua Jabatan Kerajaan Vietnam Mai Tien Dung dan Duta Besar Malaysia ke Vietnam, Datuk Shariffah Norhana Syed Mustaffa.

Ini adalah lawatan rasmi pertama Tun Dr Mahathir ke Vietnam selepas kembali memegang jawatan Perdana Menteri, khusus bagi memperkukuhkan lagi hubungan erat antara kedua-dua negara.

Malah, Vietnam adalah negara Asia Tenggara dan ASEAN ketiga dilawati beliau selepas Indonesia dan Brunei.

Kali terakhir Tun Dr Mahathir mengadakan lawatan rasmi ke Vietnam sebagai Perdana Menteri ialah pada Sidang Kemuncak ASEAN pada 1996.

Lawatan kali ini adalah atas undangan Perdana Menteri Vietnam, Nguyen Xuan Phuc.

Perdana Menteri mempunyai aturcara padat sepanjang tiga hari berada di bandar raya ini, termasuk menghadiri Majlis Makan Malam dan Sesi Dialog Bersama Rakyat Malaysia di Hotel Sheraton, Hanoi.

Esok, Perdana Menteri dan Xuan Phuc dijadual mengadakan pertemuan tertutup di Istana Presiden, khusus bagi membincangkan agenda memperkasakan hubungan kedua-dua negara, termasuk dalam konteks kerjasama ekonomi dan pelaburan, selain membincangkan isu berkaitan kepentingan Malaysia-Vietnam, khususnya membabitkan pencerobohan nelayan di perairan Malaysia.

Ini akan diikuti dengan mesyuarat delegasi Malaysia-Vietnam.

Selepas mesyuarat tersebut, kedua-dua pemimpin akan menyaksikan pertukaran surat mengenai penubuhan Kumpulan Kerjasama antara Ahli Parlimen Malaysia dan Vietnam, disusuli dengan sidang media bersama.

Pada hari yang sama, Dr Mahathir akan menghadiri dialog bersama ahli perniagaan dan pelabur Malaysia yang melibatkan 27 syarikat Malaysia yang beroperasi di Vietnam, manakala pada sebelah malam, beliau akan diraikan dalam majlis makan malam rasmi yang dihoskan Xuan Phuc.

Pada Rabu, Perdana Menteri akan melawat Hoa Lac Hi-Tech Park, berucap di University FPT mengenai ‘Persediaan Malaysia Dalam Mendepani IR 4.0’ selain melihat pameran kereta VinFast, buatan Vietnam model Lux SA 2.0, Lux SA (A) 2.0 dan Fadil 1.5.

Selain itu, Tun Dr Mahathir juga akan melawat Noi Bai Industrial Zone, zon industri terawal di Vietnam, dan melawat pameran berteknologi tinggi di Yamaha Motor Vietnam di zon tersebut.

Beliau merasmikan upacara pecah tanah zon perindustrian tersebut pada tahun 1996.

Di akhir lawatan, Tun Dr Mahathir kemudiannya akan mengadakan sidang media bersama media Malaysia sebelum berlepas pulang ke tanah air.

Pada 2018, nilai dagangan dua hala antara Malaysia dan Vietnam berjumlah  AS$13.3 bilion, menjadikan Malaysia rakan dagang ke-8 terbesar Vietnam.

Bagi suku pertama  2019, dagangan dua hala meningkat sebanyak  1.18 peratus kepada  AS$4.27 bilion, berbanding tempoh sama pada  2018.

Sehingga kini, Malaysia merupakan pelabur asing ke-8 terbesar di Vietnam, dengan jumlah pelaburan bernilai AS$12.48 bilion sehingga penghujung 2018.





Source link