GEORGE TOWN: Semua urusan berkaitan permohonan kebenaran berkahwin dan majlis akad nikah di Pulau Pinang  ditangguhkan bermula 1 April sehingga Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Bagaimanapun, bagi pengantin yang telah mendapat kebenaran untuk majlis akad nikah sehingga 31 Mac ini,  mereka dibenarkan meneruskan majlis mengikut tatacara yang telah ditetapkan.

Pengara Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Zulkifli Long berkata setakat ini, 152 pasangan di negeri itu telah mendapat kebenaran menjalankan majlis akad nikah bermula 18 Mac lalu hingga 31 Mac ini.

“Mereka ini telah membuat permohonan untuk berkahwin sebelum pelaksanaan PKP lagi jadi (mereka) boleh teruskan dengan tatacara yang JHEAIPP tetapkan, namun bermula 1 April ini kami tidak lagi meluluskan sebarang kebenaran untuk majlis akad nikah sehingga PKP tamat,” katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Beliau berkata, langkah itu adalah antara usaha pihaknya memastikan penolong pendaftar perkahwinan atau jurunikah tidak terdedah kepada penularan  wabak COVID-19.

JHEAIPP sebelum ini menetapkan akad nikah boleh dijalankan tanpa kenduri untuk meraikan majlis perkahwinan sesuai dengan arahan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara susulan penularan COVID-19.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata majlis akad nikah hendaklah dilangsungkan di premis persendirian dan dilarang sama sekali di tempat awam seperti masjid, surau atau sebagainya.

Akad nikah itu hanya boleh dihadiri oleh jurunikah, pengantin lelaki dan perempuan, seorang wali, dua orang saksi serta dua orang wakil bagi pihak pengantin lelaki dan perempuan.

Perjalanan majlis akad nikah haruslah tidak melebihi 20 minit termasuk khutbah nikah.

Menurutnya akad nikah juga perlu dijalankan tanpa berjabat tangan antara pengantin lelaki dengan wali atau jurunikah.




Source link