KUALA LUMPUR: Sepanjang 2019, PETRONAS telah menyentuh kehidupan rakyat Malaysia menerusi enam filem pendek bertemakan perayaan yang mencuit hati serta meruntun jiwa.

Bagi melabuhkan tirai 2019, PETRONAS sekali lagi tampil dengan idea kreatif menerusi penghasilan filem web berjudul ‘The Perfect Wedding’.

Bagi pengarah ‘The Perfect Wedding’, Ismail Kamarul filem web penutup tirai 2019 PETRONAS mengetengahkan tema semangat kebersamaan dan raikan cinta.

“Mesej yang ingin saya sampaikan ialah walaupun mengharungi masa-masa yang susah atau senang, apa yang penting ialah kita semua bersatu sebagai rakyat Malaysia dan kita adalah anugerah buat satu sama lain.

“Itulah mesej utama yang ingin kami sampaikan dalam filem web ini sempena tahun baharu ini,” kata Ismail selepas majlis pelancaran filem web tersebut di ibu kota pada Jumaat.

Ismail yang tidak asing dalam penghasilan karya kreatif petronas menjelaskan ‘The Perfect Wedding’ menggabungkan karakter daripada enam filem web yang pernah dihasilkan PETRONAS tahun ini. Ia sekali gus merupakan kesinambungan bagi jalan cerita keenam-enam filem pendek dan menerusi filem web ini, ia mengambil ilham dengan latar belakang satu majlis perkahwinan.

“Kelainan yang paling ketara ialah kita dapat tengok semua watak kami dalam satu filem.

“Sebelum ini kami nampak ‘cameo’ sahaja. Sebagai contoh, filem web ini menampilkan ayah Soraya untuk sekejap atau Aunty Jayanthy dari Rendang SoRaya tapi dalam ‘The Perfect Wedding’ ini kami dapat lihat semua watak Bersama-sama dalam satu filem.

“Jadi itu merupakan kelainan yang paling ketara dalam filem penutup tirai ini,” katanya lagi.

Antara yang membintangi ‘The Perfect Wedding’ termasuk Lee Zi Qi, Elvin Romeo, Christina Juliet G. Pancras, Tanesh Vijayagomaran dan Fiza Thomas.

Bagi anda yang ingin mengetahui kesudahan filem pendek ini, the perfect wedding kini boleh mula ditonton di laman YouTube rasmi PETRONAS.

Pada masa sama, PETRONAS turut menghasilkan filem web ini dalam bentuk iklan yang akan disiarkan di pawagam untuk dua minggu bermula 26 Disember lalu.





Source link