CHICAGO: Seorang pesakit meninggal dunia dipercayai akibat penggunaan rokok elektronik, sekali gus menjadikannya kematian pertama di Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan rokok alternatif itu.

Pegawai kesihatan di Jabatan Kesihatan Awam Illinois mengesahkan kematian mangsa yang disahkan menghidap sakit paru-paru kronik dipercayai akibat tabiatnya menghisap vape.

Ia bagaimanapun namun enggan mendedahkan nama, usia dan jantina mangsa, lapor CBS Chicago.

“Keseriusan penyakit yang dialami orang awam akibat vape adalah pada tahap membimbangkan dan kita perlu sedar penggunaan e-rokok adalah berbahaya pada kesihatan.

“Kami minta pasukan dari Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) untuk datang ke Illinois bagi membantu kami menyiasat kes ini,” kata Pengarah Jabatan Kesihatan Awam Illinois, Dr Ngozi Ezike.

Agensi itu berkata sekurang-kurangnya 22 orang berusia di antara 17 dan 38 tahun menghidap beberapa jenis penyakit pernafasan selepas menggunakan e-rokok, manakala 12 kes lain pula sedang disiasat.

Kes-kes penyakit pernafasan yang berkaitan dengan vape turut dilaporkan berlaku di Chicago dan Champaign.

Mereka yang terjejas mempunyai gejala termasuk batuk, sesak nafas, dan keletihan.

Ada di antara mereka juga mengalami muntah-muntah dan cirit-birit.

Sehingga Rabu, CDC melaporkan 153 kes sesak nafas berlaku di Amerika Syarikat.





Source link