KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo menegaskan bahawa mana-mana peruntukan bersifat ‘oppressive dan draconian’ atau ‘menindas dan kejam’ di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) (SOSMA) perlu dipinda atau dimansuhkan.

Gobind berkata beliau akan membangkitkan perkara tersebut dalam mesyuarat kabinet esok.

“Saya rasa kita ambil pendirian, bukan sahaja sekarang tetapi (dari) dahulu bahawa peruntukan dalam SOSMA ini adalah peruntukan yang ‘oppresive dan draconian’,” katanya kepada pemberita selepas menemui wakil keluarga tahanan SOSMA, di luar bangunan Parlimen.

“Kita ada satu undang-undang yang membenarkan tahanan 28 hari tanpa ada sebarang hak tahanan tersebut untuk hadir di hadapan mahkamah, dan untuk mahkamah buat keputusan sama ada ya atau tidak untuk lanjutkan atau sebaliknya. Ini perkara yang luar biasa dan disebut sebagai menindas,” kata Gobind.

Beliau berkata di bawah peruntukan SOSMA sekarang, selepas mereka dituduh di mahkamah, tidak ada peruntukan yang membenarkan jaminan.

“Kalau menang bicara mereka tetap ditahan sehingga habis proses rayuan,” kata Gobind yang mempunyai latar belakang sebagai seorang peguam.

Beliau berkata ia merupakan perkara yang disebut dari dahulu bahawa ia tidak adil dan pindaan serta pemansuhan peruntukan berkenaan perlu dibuat dengan kadar segera.

“Walaupun kita dalam kerajaan sekarang, tapi ia telah digunakan untuk kes baharu,” katanya.

Beliau berkata rakyat menilai apa yang kerajaan laksanakan dan menambah kata pindaan dan pemansuhan tersebut perlu dibuat dengan segera.

Terdahulu itu, kira-kira 50 wakil keluarga lima tahanan SOSMA diketuai isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gadek, V.Umah Devi berkumpul di luar bangunan Parlimen bagi menyerahkan memorandum kepada kerajaan bagi membantah penggunaan SOSMA dan penahanan tanpa bicara.

Memorandum itu kemudian diterima pegawai kanan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

— BERNAMA





Source link