DENGAN perubahan iklim yang berlaku dan tiada titik hentinya, negara Singapura mungkin menerima kesan yang lebih buruk daripada dijangka.

Menurut ramalan Pusat Penyelidikan Iklim Singapura, republik tersebut bakal mengalami peningkatan paras air laut sehingga satu meter menjelang tahun 2100.

Bagaimanapun, saintis kajian iklim Benjamin Horton berkata paras air laut tersebut mungkin akan melebihi ramalan itu.

“Ia mungkin akan meningkat sehingga 1.5 meter bagi Singapura, itulah anggaran kami.

“Bagi melindungi rakyat Singapura dan infrastruktur, kerajaan perlu menjangkakan peningkatan paras yang lebih tinggi.

“Kemungkinan satu dalam 20 ialah ia akan mencapai lebih 2.5 meter,” kata Horton dalam program ‘Why It Matters’ yang dihasilkan portal berita Channel News Asia (CNA).

Terdapat kemungkinan bahawa kawasan pedalaman seperti Bishan dan Toa Payoh berisiko terjejas.

Tambah Horton, paras laut setakat ini adalah meningkat sebanyak 3.2 milimeter (mm) setiap tahun dan ia merupakan peningkatan yang paling pantas dalam masa 6,000 atau 7,000 tahun.

“Bagi Singapura, dalam tempoh 20 hingga 30 tahun yang akan datang, kami akan menyaksikan kenaikan paras air laut sehingga 20 hingga 30 sentimeter (cm),” jelasnya.

Kedudukan Singapura di garisan Khatulistiwa dan di tengah kedua-dua kutub menjadikannya kawasan yang mudah terkesan akibat pencairan ais.

“Lapisan ais sangat besar. Apa-apa sahaja yang mempunyai jisim, akan tertarik kepadanya.

“Apabila lapisan air tersebut hilang jisimnya, maka daya tarikan akan berkurangan dan air akan mengalir dan kembali ke kawasan tropika,” katanya.

Jika lapisan ais Greenland cair sepenuhnya, ia dijangka meningkatkan paras air laut sehingga enam meter, manakala Antartika pula akan menaikkan paras air laut sebanyak 10 kali ganda daripada Greenland.

Trend hujan yang membimbangkan

Trend hujan tahunan meningkat kepada 9 mm setiap dekad dari tahun 1980 sehingga 2018.

Biarpun 9mm tidak kelihatan seperti banyak, sainstis penyelidikan kanan Perkhidmatan Meterologikal Singapura, Muhammad Eeqmal Hassim berkata terdapat trend meningkat dari segi kekuatan dan kekerapan penurunan hujan.

“Oleh itu, hujan lebat yang turun menjadi semakin kerap dan semakin lebat.

“Apabila ia hujan, ia mencurah-curah,” kata Muhamma Eeqmal dalam program ‘Why It Matters’.

Penyiasat utama Balai Pencerapan Nanyang Technological University (NTU), Adam Switzer bersetuju bahawa peningkatan kemungkinan berlakunya banjir di pedalaman, terutamanya apabila hujan dan ribut petir berlaku pada masa yang sama.

Kejadian banjir di kawasan beli-belah Orchard Road, Singapura pada 16 Jun 2010. - REUTERS/Vivek Prakash.

“Kami akan melihat peningkatan paras air laut sehingga 30, 40 cm dalam masa beberapa jam yang bergerak melalui Selat Singapura,” ujar Switzer.

Kerajaan Singapura menimbangkan pembinaan tembok

Bagi melindungi negara tersebut daripada ancaman fenomena paras air laut yang semakin meningkat ini, kerajaan Singapura menyemak rancangannya.

Memetik laporan daripada CNA, kerajaannya membelanjakan S$400 juta (RM1.2 bilion) untuk menaik taraf dan menyelenggara parit untuk dua tahun akan datang, di samping membelanjakan sebanyak S$1.8 bilion (RM5.5 bilion) sejak tahun 2011.

Dalam pada itu, kerajaan negara pulau itu bersedia membelanjakan S$100 bilion (RM305.54 bilion) dalam dekad yang akan datang untuk melindungi negara berkenaan.





Source link