LANGKAWI: Perkhidmatan tram akan diperkenalkan bagi memudahkan pergerakan serta mengurangkan kesesakan lalu lintas di sekitar Jalan Pantai Cenang, antara lokasi tumpuan ramai di pulau peranginan bebas cukai ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) Radzuan Osman berkata cadangan tersebut dikemukakan dalam mesyuarat yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir melibatkan pelbagai agensi dalam Majlis Pembangunan Langkawi baru-baru ini.

“Dalam mesyuarat di peringkat tertinggi telah dipersetujui satu kaedah pengangkutan perlu diwujudkan di tapak ‘Park N’ Ride’ Cenang ini untuk pelancong-pelancong yang datang sebab kita sedia maklum tapak ini adalah di luar kawasan Pantai Cenang.

“Dengan adanya tram itu dapat membantu pihak yang parkir kenderaan di sini untuk dibawa ke hotel yang telah ditempah.

“Bagaimanapun, tempoh waktu untuk merealisasikan perkhidmatan tram mungkin mengambil masa kerana melibatkan pelbagai proses,” katanya.

Beliau berkata demikan kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian ‘Langkawi Youth Town’ di Park N Ride Chenang, di sini pada Khamis.

Sementara itu, Radzuan berkata sebagai usaha awal menjadikan Langkawi sebagai pulau rendah karbon, MPLBP akan mula menggunakan kenderaan elektrik.

“Dalam tempoh waktu terdekat, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim akan menyerahkan dua buah kereta elektrik dan 10 buah motosikal elektrik untuk kegunaan anggota penguat kuasa MPLBP,” katanya sambil menambah jumlah kenderaan elektrik akan ditambah secara berperingkat.

— BERNAMA





Source link