[ad_1]

PUTRAJAYA: Penguatkuasaan akan dilakukan oleh agensi dan kementerian berwajib berhubung pelaksanaan kawalan pergerakan bagi kawalan wabak COVID-19 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada Isnin.

Bagaimanapun, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, kejayaan pelaksanaan itu bergantung kepada kerjasama yang diberikan oleh rakyat, apatah lagi kerajaan mempunyai sumber yang terhad untuk melakukan penguatkuasaan.

“Kerajaan telah beri arahan jelas dan bukan sekadar bersifat administrative, tetapi juga berdasarkan jalur undang-undang yang ada termasuk beberapa akta. Maka elemen penguatkuasaan itu ada tetapi bagi melaksanakan tindakan sebesar ini, rakyatlah yang kena ada rasa tanggungjawab.

“Kita menyeru semua untuk beri kerjasama, kita tak cukup kakitangan pun kalau nak enforce. Jadi kena ada kesedaran dan self enforcement. Kita minta semua pengusaha premis mematuhi arahan kerajaan, kecuali yang telah ditetapkan boleh beroperasi.

“Berkorbanlah dalam masa dua minggu ini untuk kepentingan semua dan kita yakin jika semua ikut arahan yang diberikan kita boleh atasi perkara ini,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas kunjungan rasmi ke Perbadanan Putrajaya (PPJ), pada Selasa.

Kuala Lumpur dan Putrajaya mencatatkan kes jangkitan kedua tertinggi selepas Selangor, dengan 106 jangkitan setakat Isnin.

Sementara itu, Annuar menyifatkan cabaran utama PPJ dalam beberapa tahun akan datang adalah memastikan bandar itu dapat terus mengekalkan karakter dan kehijauannya sebagai sebuah bandar terulung dunia.

“Visi kita adalah mahu menjadikan Putrajaya sebuah bandar bertaraf dunia dan setakat ini ia berjalan lancar kerana kita menjadi rujukan banyak perancang dan pentadbir bandar dari seluruh dunia.

“Kita perlu pastikan Putrajaya menjadi satu cerminan kejayaan yang ditempa negara, termasuk dari sudut perancangan, pengurusan alam sekitar dan seni binanya,” ujar beliau.



[ad_2]
Source link