KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengekalkan tarikh perbicaraan berhubung kes pindaan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB pada 18 November ini.

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan ketika memutuskan perkara itu berkata ia wajar untuk mengekalkan tarikh tersebut kerana bimbang tidak dapat mencari tarikh alternatif bagi memulakan perbicaraan tersebut.

“Jika saya mengosongkan tarikh tersebut, ia akan menjadi sukar untuk mencari tarikh alternatif.

“Saya berpendapat perbicaraan ini boleh dimulakan pada 18 November ini dengan memanggil saksi yang lain terlebih dahulu,” kata Mohamed Zaini di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Rabu.

Sebelum ini, pasukan pendakwaan dalam kes meminda laporan akhir pengauditan 1MDB telah memohon untuk mengosongkan tarikh perbicaraan kes tersebut yang dijadualkan dari 18 November hingga 29 November ini dan 13 hingga 17 Januari 2020.

Hal ini kerana saksi utama iaitu bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi  yang akan dipanggil dalam kes berkenaan masih sedang memberi keterangan di bawah pemeriksaan balas dalam perbicaraan Najib yang melibatkan RM2.3 bilion dana 1MDB (kes 1MDB).

Kata Mohamed Zaini, beliau tidak akan mendesak Shahrol untuk memberi keterangan selagi beliau belum selesai untuk memberi keterangan dalam kes 1MDB.

“Apabila saksi lain sudah selesai dipanggil dan tibanya giliran untuk bekas Ketua Pegawai Eksekutif 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi untuk memberi keterangan, saya tidak akan mendesaknya untuk memberi keterangan selagi beliau belum selesai dalam kes 1MDB.

“Saya memberi jaminan kepada anda,” katanya.

Pada 12 Disember 2018, Datuk Seri Najib Tun Razak didakwa menggunakan kedudukannya untuk mengarahkan pindaan kepada laporan akhir audit 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) untuk mengelakkan sebarang tindakan dikenakan terhadapnya.

Beliau didakwa, dalam kapasitinya sebagai perdana menteri ketika itu, menggunakan kedudukan untuk mendapatkan suapan bagi dirinya, iaitu perlindungan daripada tindakan yang bersifat tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB, dengan cara mengambil tindakan mengarahkan Laporan Akhir Pengauditan 1MDB, yang sedang disediakan, dipinda sebelum laporan itu dimuktamadkan dan dibentangkan kepada PAC, yang tertuduh secara langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Pekan tersebut dituduh melakukan kesalahan di Kompleks Jabatan Perdana Menteri, Pusat Pentadbiran Kerajaan Pusat, Wilayah Persekutuan Putrajaya antara 22 Feb dan 26 Feb 2016.

Tuduhan itu adalah di bawah Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman maksimum penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, bekas CEO 1MDB Arul Kanda Kandasamy didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan terhadap laporan itu bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tertakluk kepada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan dengan 1MDB, di tempat dan masa yang sama dan mengikut Seksyen 28 (1) (c ) Akta SPRM 2009 dibaca dengan Seksyen 23 (1) & 24 (1) akta yang sama yang memberikan hukuman yang sama, jika didapati bersalah.





Source link