INDIVIDU dipercayai merakam video yang menunjukkan pesawat Ukraine ditembak jatuh peluru berpandu dilapor telah ditahan pihak berkuasa Iran.

BACA: Rakaman kejadian pesawat Ukraine ditembak jatuh Iran tular

Menurut laporan Fars News Agency, individu tersebut yang turut berkongsi video pesawat penerbangan 752 itu ditangkap Kor Pengawal Revolusi Islam Iran.

Laporan itu turut menyebut bahawa hasil siasatan terhadap individu yang tidak dinamakan itu akan dimaklumkan kepada orang ramai.

Rakaman berdurasi 45 saat yang dimuat naik oleh pengguna laman Twitter @IranianPatriot itu menjadi tular di laman sosial Twitter apabila ia mendapat perhatian warganet, terutamanya warga Iran.

Rakaman berkenaan memaparkan sebuah objek besar dengan api yang marak menjunam secara perlahan ke bumi dan akhirnya terhempas hingga menyebabkan letupan besar.

Pesawat Boeing 737 milik Ukraine itu terhempas di luar Tehran sejurus berlepas pada Rabu minggu lalu, beberapa jam selepas Iran melancarkan peluru berpandu ke dua pangkalan tentera AS di Iraq.

Semua 176 penumpang pesawat malang itu terbunuh.




Source link