[ad_1]

TELUK INTAN: Seorang lelaki maut setelah motosikal yang ditunggangnya terperosok di bahagian hadapan tayar sebuah lori di Kilometer 1.5 Jalan Changkat Jong Teluk Intan, menghala ke Bidor pada Sabtu.

Mangsa dikenali Khirul Ilman Azmi, 21, yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 warna kelabu parah di kepala akibat kemalangan itu.

Seorang lagi penunggang motosikal iaitu sepupu mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15 warna merah pula mengalami kecederaan di lutut.

Menurut Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Mohd Marzhuki Mohd Mokthar, hasil siasatan mendapati pemandu lori gagal memastikan laluan selamat sebelum membelok masuk ke simpang sebelah kiri.

Kegagalan pemandu lori itu berbuat demikian menyebabkan kedua-dua mangsa tidak sempat memperlahankan kenderaan dan melanggar lori tersebut dari arah kiri jalan.

“Pihak polis terima panggilan telefon dari orang awam bahawa berlaku kemalangan maut melibatkan dua buah motosikal dan sebuah lori di KM1.5 Jalan Changkat Jong.

“Siasatan awal di tempat kejadian, kedua-dua mangsa dari arah Teluk Intan hala ke Bidor disyaki berada di laluan bahu jalan sebelah kiri.

“Pada masa yang sama pemandu lori itu masuk ke simpang kiri tetapi disebabkan badan lori panjang, dia belok ke lorong kanan jalan terlebih dahulu lalu membelok ke kiri untuk masuk simpang kiri,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Katanya, kedua-dua mangsa yang berada di laluan kiri iaitu hampir dengan bahu jalan telah melanggar sisi kiri lori dan menyebabkan seorang mangsa terjatuh masuk ke bawah bahagian tayar hadapan.

Manakala seorang lagi telah terjatuh masuk ke bawah bahagian tayar belakang.

“Akibat kemalangan ini, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian manakala seorang lagi dihantar ke Hospital Teluk Intan kerana mengalami kecederaan ringan. Bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



[ad_2]
Source link