[ad_1]

KEMAMAN: Seorang lelaki maut selepas motosikal yang ditungganginya melanggar bahagian belakang sebuah kereta yang sedang berhenti di tepi jalan ekoran mengalami kerosakan.

Kemalangan berlaku di kilometer 251, Lebuhraya Pantai Timur Dua (LPT2) berhampiran dengan susur keluar Plaza Tol Cheneh, Kemaman, pada Sabtu.

Dalam nahas kira-kira jam 3.15 petang itu mengakibatkan mangsa Mohd Yusuf Hamat, 56 tahun, maut di lokasi kejadian.

Ketika kejadian, mangsa yang menunggang motosikal jenis Honda EX 5 datang dari arah Kuantan, Pahang, menuju ke Kuala Terengganu.

Sejurus tiba di lokasi kejadian, motosikal yang ditunggang mangsa dikatakan tidak sempat mengelak sebelum merempuh bahagian belakang sebuah kereta jenis Perodua Myvi yang dinaiki oleh tiga sekeluarga.

Impak dari perlanggaran itu mangsa dikatakan tercampak ke atas jalan raya.

Sementara itu, pemangku Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintendan Mohd Haki Hasbullah ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Kemaman untuk proses bedah siasat.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.



[ad_2]
Source link