GOMBAK: Segala isu atau konflik yang dialami oleh komuniti Islam perlu ditangani dengan penyatuan suara dunia Islam terlebih dahulu.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menegaskan pentingnya komuniti Islam di seluruh dunia untuk bersatu dalam menyuarakan pendirian mereka berkenaan satu-satu isu.

Ini kerana tanpa satu suara yang kuat, sukar untuk langkah seterusnya diambil, apatah lagi melaksanakan gerak kerja yang sistematik dan efektif.

“Apa yang paling penting di sebalik apa yang berlaku ialah untuk komuniti Islam bersatu. Kalau suara kita tidak bersatu, sukar untuk kita bergerak ke hadapan.

“Kalau kita dapat menggabungkan tenaga, saya yakin kita dapat melakukan banyak perkara yang baik untuk dunia Islam,” katanya.

Beliau yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) juga menegaskan pentingnya aspek pendidikan diperkukuh di negara-negara Islam sebagai benteng pertahanan diri.

“Kalau kita nak pertahankan diri sendiri, kita perlu kuat terlebih dahulu. Apabila kita tidak beri penekanan kepada perkara-perkara mustahak, contohnya pendidikan dan pembangunan teknologi di negara-negara Islam, kolaborasi antara satu sama lain seperti perdagangan dan perusahaan, sukar untuk kita perjuangkan isu-isu lain,” tambah beliau lagi.

Syed Saddiq ditemui selepas ditemui selepas solat Jumaat dan Solat Hajat Perdana serta Qunut Nazilah untuk rakyat Uighur dan Kashmir di Universiti Islam Antarabangsa (UAIM) kampus Gombak, pada Jumaat.

Ia diadakan bersempena program Rally For Muslim Ummah yang dihadiri kira-kira 800 pelajar dari pelbagai kewarganegaraan.




Source link