Penternak akuakultur disaran gunakan teknik Objek Rangkaian Berinternet 1

NIBONG TEBAL: Para pengusaha akuakultur atau penternak ikan dalam sangkar, disaran menggunakan kaedah baru iaitu High-Density Polyethylene (HDPE) yang turut memasukkan elemen teknik automasi Objek Rangkaian Berinternet (IoT) dalam industri penternakan sangkar mereka.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Tzin berkata, pada masa ini pengusaha ikan sangkar masih menggunakan kaedah lama dan beliau berharap, golongan penternak ikan dalam sangkar itu untuk terus maju ke hadapan dengan mengunakan teknologi moden.

“Setelah ada teknologi baru iaitu HDPE yang menggunakan IoT, teknologi itu membantu dalam proses penjimatan seperti pengurangan penggunaan tenaga pekerja, meningkatkan produktiviti dan tahan bencana, seperti ribut dan ombak kuat.

“Selain itu IoT juga dapat memberitahu amaran awal kepada penternak, akan apa yang berlaku terhadap ternakan mereka, seperti kekurangan oksigen dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Taklimat Agrobank bersama pengusaha akuakultur Sungai Udang di sini pada Jumaat.

Katanya ketika ini aplikasi moden itu hanya diguna pakai syarikat-syarikat besar dan beliau berharap penternak ikan sangkar dapat memohon pinjaman daripada Agrobank dan kemudian menggunakan teknik tersebut dalam industri ikan sangkar, yang diusahakan mereka.

Pada majlis itu Sim turut mengumumkan peruntukan RM100,000 dari kementeriannya menerusi pemberian dua buah sangkar ikan yang menggunakan teknik HDPE, kepada penternak ikan sangkar yang terjejas akibat taufan Lekima, di Kawasan Penternakan Ikan Sangkar Sungai Udang Nibong Tebal.

Katanya pemberian dua sangkar itu adalah sebagai projek perintis bagi mendedahkan teknologi sangkar ikan terkini, melibatkan penggunaan teknologi IoT kepada semua penternak di kawasan utara.

Dalam perkembangan lain, Sim berharap Bajet 2020 yang akan dibentangkan Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada 11 Okt ini, akan memberi tumpuan terhadap suara akar umbi, termasuk golongan penternak dan petani.

“Saya menghadiri mesyuarat bersama Kementerian Kewangan dua hari lepas dan menyuarakan permohonan bantuan kepada petani, penternak dan pemain industri pertanian yang terjejas dalam Taufan Lekima Ogos lalu. Saya berharap perkara ini mendapat perhatian (dalam Bajet 2020),” katanya.

— BERNAMA





Source link