[ad_1]

ANCHORAGE: Pentadbiran Presiden Donald Trump kembali meneruskan rancangan untuk membina laluan jalan raya yang membelah taman negara di Alaska yang menjadi kawasan perlindungan hidupan liar.

Reuters melaporkan, perkembangan itu agak mengejutkan kerana sekitar empat bulan sebelumnya Hakim Mahkamah Persekutuan Amerika Syarikat (AS) sudahpun menolak pelaksanaan projek itu.

Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri, David Bernhardt dan ketua eksekutif sebuah perbadanan Alaska telah menandatangani perjanjian untuk memindahkan hak milik tanah di Taman Negara Izembek di barat daya Alaska, bagi membenarkan pembinaan jalan di tengah-tengah santuari hidupan liar.

“Saya memikirkan manfaat yang lebih penting iaitu demi kebaikan penduduk asal Alaska di King Cove,” kata Bernhardt sebagai alasan.

Perjanjian itu, jika dilaksanakan, membolehkan penduduk di kampung Aleut di King Cove yang berpopulasi 1,000 orang, mendapatkan akses lapangan terbang di kampung terdekat.

Menurut laporan, tanpa akses tersebut, penduduk di Aleut sukar mendapatkan bantuan perubatan terutamanya ketika berlaku ribut salji.

Bagaimanapun, perkara yang menjadi kebimbangan adalah perjanjian baharu itu langsung tidak menyatakan bahawa jalan itu hanya boleh diguinakan sewaktu kecemasan, sebaliknya timbul sentimen bahawa projek itu sebenarnya untuk ‘memuaskan keinginan ekonomi dan sosial di negeri Alaska’.

Aktivis alam sekitar mendakwa pembinaan jalan raya itu bakal memusnahkan habitat berharga, sedangkan penduduk asal di kawasan itu mempunyai alternatif yang lebih baik untuk mendapatkan perkhidmatan kecemasan.

Perjanjian baharu itu, yang hampir sama dengan cadangan sebelum ini yang sudah ditolak, terkandung laporan setebal 20 muka surat yang ditandatangani Bernhardt.

Pakar alam sekitar berkata, mereka tidak akan berdiam diri dan sedang memikirkan tindakan undang-undang seterusnya.

“Kami sangat kecewa namun tidak terkejut Setiausaha Dalam Negeri sudah tandatangan perjanjian baharu untuk mengorbankan taman negara hidupan liar  dan tanah bencah yang penting di Izembek,” ujar peguam alam sekitar, Bridget Psarianos.



[ad_2]
Source link