[ad_1]

SEREMBAN: Golongan peniaga di negeri ini berharap tempoh pendaftaran dan pengaktifan akaun perkhidmatan platform e-pembayaran, dapat dipercepatkan memandangkan penggunaannya yang semakin meluas dan mendapat sambutan khususnya daripada golongan muda.

Seorang pengusaha kedai gunting rambut Mohd Subhan, 26, berkata tempoh pendaftaran dan pengaktifan e-pembayaran seperti Touch ‘n Go eWallet, QRPay, Boost dan GrabPay, ketika ini mengambil masa sehingga sebulan.

“Sebelum ini pengalaman saya untuk aktifkan QRPay memakan masa hingga sebulan dan ia merupakan tempoh yang agak lama, apatah lagi semua urusan hari ini dibuat menerusi dalam talian sahaja dan sepatutnya perkara itu boleh disegerakan.

“Apabila berlaku kelewatan, sedikit sebanyak memberi kesan kepada penggunaan kaedah e-pembayaran ini, kerana apabila pelanggan datang hendak membayar menggunakan kaedah itu, kita terpaksa memaklumkan ia masih dalam proses,” katanya ketika ditemui Bernama di sini, pada Ahad.

Sehubungan itu beliau berharap kempen penggunaan kaedah e-pembayaran seharusnya perlu seiring, dengan kepantasan untuk mengaktifkan kemudahan itu.

Seorang pemilik sebuah kedai serbaneka Tok Pek Huang, 45, berkata beliau mengambil keputusan untuk menyediakan perkhidmatan itu di kedainya selepas mendapati ia semakin mendapat sambutan daripada pelanggannya.

“Buat masa ini memang mendapat sambutan baik daripada pelanggan terutama golongan remaja. Ia senang digunakan dan pembayaran pula dilakukan secara cepat dan ‘smart’.

“Tetapi buat masa ini golongan berusia dan warga emas masih belum pandai menguasai kaedah pembayaran secara elektronik berkenaan, mungkin mengambil sedikit masa untuk mereka fahami sebelum dapat gunakannya,” katanya.

Sementara itu, pekerja swasta, Intan Shahiera Marlissa Hamdan, 22, berkata penggunaan e-pembayaran ini masih kurang disediakan, di kedai-kedai berada di kawasan luar bandar seperti di Tampin.

“Saya dapati hanya kawasan bandar seperti Seremban dan Kuala Lumpur ada menyediakan kaedah pembayaran ini, jadi saya berharap peniaga di kawasan luar bandar terutama kedai runcit, juga tidak ketinggalan dalam perkara ini,” katanya.

Luqman Haqim Neza, 24, yang juga seorang pekerja swasta turut mula menggunakan perkhidmatan e-dompet Touch ‘n Go, sejak kerajaan memperkenalkan e-Tunai Rakyat.

“Setakat ini saya guna kaedah ini untuk tol sahaja, sebab masih belajar lagi cara nak gunakan tetapi kalau dengar perkongsian daripada kawan-kawan yang lain, mengatakan dengan menggunakan kaedah ini kita akan dapat banyak promosi, pulangan tunai dan sebagainya, jadi ia sewajarnya diperluaskan.

“Hari ini kalau pergi kedai gunting rambut pun ada yang dah boleh bayar guna e-pembayaran, ini memang sesuatu yang baharu dan amat menarik,” katanya.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link