DENGKIL: Pengguna yang terjejas dengan gangguan bekalan air di Lembah Kelang dijangka menerima semula bekalan air menjelang tengah malam ini, kata Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, sebanyak 24 juta liter air sehari akan dipam menggunakan mesin Jabatan Pengairan dan Saliran dari kolam Tasik Idaman di Dengkil ke Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih bagi memastikan tahap pencemaran bau boleh dicairkan ke tahap sifar.

“Saya berharap pengguna yang mula mendapat bekalan air supaya jangan panik dengan menyimpan air kerana tindakan ini akan mengganggu paras air di empangan dan usaha untuk mengurangkan risiko pencemaran bau,” katanya kepada pemberita selepas melawat kolam Tasik Idaman di sini, hari ini.

Sejak Sabtu, LRA Sungai Semenyih terpaksa dihenti tugas sepenuhnya ekoran insiden pencemaran bau di Sungai Semenyih, yang berpunca perbuatan tidak bertanggungjawab pihak yang membuang bahan sisa buangan haram dengan bau pelarut di lurang pembetungan sekitar loji milik Indah Water Konsortium Sdn Bhd (IWK) yang terletak di Bandar Bukit Mahkota.

Susulan penutupan itu sebanyak 366 kawasan dengan akaun pengguna sebanyak 328,957 di kawasan Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang telah terjejas.

BACA: Loji Sungai Semenyih kembali beroperasi, bekalan air pengguna ambil masa untuk stabil 

BACA: Tiada air hingga pencemaran bau capai 0 ton – Air Selangor 

Jelas Amirudin, pihak IWK telah memulakan usaha menyedut bahan tercemar di lurang pembetungan yang terjejas mulai 4 petang Ahad.

“Kerajaan negeri turut menutup kawasan lurang pembetungan berkenaan selain meminta Majlis Perbandaran Kajang untuk kurangkan akses ke kawasan itu kerana sudah dua kali sisa buangan dibuang di situ oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kali pertama ia berlaku pada September lepas.

“Ini adalah pembuangan secara sengaja sebab jumlahnya tinggi dan berlaku di tempat yang sama,” katanya lagi.

BACA: Air Selangor tambah pili awam kawasan terjejas bekalan air

BACA: Guna semua kepakaran selesaikan isu air Selangor – Rizam

Tambah Amirudin, beliau berharap akan ada penyelesaian yang komprehensif dalam masalah berkenaan bagi mengelak masalah yang sama berulang serta memberi kesan terhadap kredibiliti Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) dan kerajaan negeri Selangor.

— BERNAMA





Source link