[ad_1]

KUCHING: Tidak kira siapa pun pengganti Dr Maszlee Malik sebagai Menteri Pendidikan, projek pembinaan dan baik pulih sekolah daif di Sarawak perlu diteruskan.

Demikian kata Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan Teknologi Sarawak Datuk Seri Michael Manyin Jawong ketika mengulas peletakan jawatan Dr Maszlee yang berkuatkuasa 3 Januari 2020.

Beliau ketika dihubungi pada Jumaat berkata jawatan menteri Kabinet yang dilepaskan itu sama sekali tidak menjejaskan sebarang rundingan mahupun projek yang dilaksanakan.

“Tidak, siapa sahaja yang akan ambil alih tugas Menteri Pendidikan, dia akan teruskan kerjanya, secara peribadi saya percaya perkara itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi menerusi aplikasi WhatsApp bagi mendapatkan responnya mengenai tindakan Dr Maszlee yang mengumumkan peletakan jawatan dalam satu sidang media di Putrajaya pada semalam.

Kata Manyin menerusi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) sebanyak 196 sekolah daif atau 19.2 peratus daripada jumlah keseluruhan 1,020 sekolah di seluruh Sarawak telah dibaik pulih setakat ini.

Kerajaan Persekutuan katanya telah membelanjakan kira-kira RM678.97 juta bagi negeri ini untuk memperbaiki, menaik taraf atau membina semula sekolah daif sejak 2016 hingga kini.

Beliau menambah RM100 juta diperuntukkan oleh Kerajaan Persekutan dalam Belanjawan Negara 2020.

Mengenai peruntukan RM1 bilion oleh Kerajaan Persekutuan, bayaran pertama secara kontra sebanyak RM350 juta telah dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk bagi 37 sekolah pertama di negeri ini.

Sementara itu, bayaran kedua dan ketiga masing-masing berjumlah RM350 juta dan RM300 juta dijadualkan dibayar pada Januari dan Jun tahun ini.



[ad_2]
Source link