PUTRAJAYA: Pencapaian Malaysia dalam laporan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA) 2018 semakin menghampiri purata skor Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebanyak 500 mata dalam tiga literasi – bacaan, matematik dan saintifik.

Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Amin Senin berkata berdasarkan laporan PISA 2018, Malaysia mencatat skor 415 mata bagi literasi bacaan dan masing-masing 440 dan 438 mata bagi literasi matematik dan literasi saintifik.

“Pencapaian ini menunjukkan Malaysia bukan lagi berada di satu pertiga ke bawah dalam kedudukan negara OECD, sebaliknya kita kini berada pada satu pertiga pertengahan,” katanya pada sidang media mengumumkan pencapaian Malaysia dalam PISA 2018 di sini pada Selasa.

Menurutnya, pencapaian Malaysia dalam PISA 2018 itu lebih baik berbanding negara ASEAN lain kecuali Singapura.

Amin berkata pentaksiran PISA 2018, yang mewakili 388,638 murid 15 tahun di Malaysia, menunjukkan murid hanya membaca apabila terpaksa atau untuk tujuan tertentu sahaja dan bukannya sebagai suatu minat.

“Di sebalik pengurangan minat membaca sebagai hobi, buku fiksyen, buku bukan fiksyen dan komik menjadi bahan bacaan yang masih diminati,” katanya.

Menurut Amin, OECD melaporkan bahawa pengurangan dalam penggunaan bahan bercetak boleh dikaitkan dengan era digital, iaitu akses kepada ruang bual, pembacaan rencana dalam laman berita atau laman web yang menyediakan bahan bacaan dengan mudah.

“Walaubagaimanapun, peratusan murid Malaysia yang membaca dan mencari maklumat dalam talian telah meningkat dengan signifikan, malah hampir menyamai peratusan purata OECD,” katanya.

Amin berkata perbezaan sikap membaca antara murid lelaki dengan murid perempuan menunjukkan 77 peratus pelajar lelaki hanya membaca untuk mendapatkan maklumat diperlukan berbanding 58 peratus murid perempuan membaca bagi tujuan yang sama.

“Nisbah murid perempuan yang menyatakan membaca adalah hobi adalah lebih tinggi iaitu 73 peratus berbanding lelaki sebanyak 52 peratus,” katanya.

— BERNAMA





Source link