[ad_1]

KUALA LUMPUR: Tidak dinafikan apabila terserempak dengan biawak, ramai akan lari ketakutan, namun seorang lelaki sanggup memberanikan dirinya mendekati reptilia itu demi menyelamatkannya.

Dalam sebuah video yang diviralkan di media sosial sejak malam tadi kelihatan seorang lelaki berpakaian lengkap baju Melayu berwarna merah jambu membantu seekor biawak yang kepalanya tersangkut dalam tin.

Perasaan simpati jelas mengatasi ketakutan yang dirasai, membolehkan pemuda itu cuba meloloskan kepala biawak itu daripada terus terperangkap dalam tin. Setelah beberapa kali, cubaannya berjaya.

Bagaimanapun, lokasi, masa kejadian dan identiti pemuda itu tidak diperoleh.

Keberaniannya mendapat pujian Persatuan Haiwan Malaysia yang berterima kasih kepadanya dan berharap tindakannya akan diteladani warga Malaysia yang lain.

“Tindakan ini sangat wajar. Ini merupakan tindakan yang terpuji. Walaupun haiwan yang dibantu itu dikategorikan sebagai haiwan liar, tiada sebab kita tidak boleh membantunya.

“Kami sangat bangga rakyat Malaysia mempunyai kesedaran ini,” kata presiden persatuan itu, Arie Dwi Andika kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.

Walaupun tiada maklumat lanjut mengenai pemuda tersebut, Arie juga berkata bahawa persatuan itu akan menawarkan anugerah ‘Noble Animal Malaysia’ bagi usaha lelaki itu menyelamatkan biawak tersebut.

Video yang dikongsikan dalam twitter Senawang TV telah mendapat perhatian ramai warganet yang memuji dan menyokong tindakan pemuda itu.

Pengguna Twitter Kiko Fridaus berkata: “Sebagai seorang manusia yang sayangkan binatang, aku doakan semoga bro yang tolong biawak itu dimurahkan rezeki di dunia.”

Di Facebook pula, Thracius Cius berkata: “Thank you so much ! We need more people like him. That biawak probably was searching for food and ended up stuck in that tin. Moral of the story too: don’t throw your rubbish everywhere, humans!”

Video tersebut juga dikongsikan pelawak terkenal Harith Iskandar di Instagramnya yang berkapsyen  “Tapi respect abang ini, compassionate habis. I don’t know if I would be brave enough.” – BERNAMA



[ad_2]
Source link