[ad_1]

KUCHING: Pemindahan ibu negara Indonesia dari Jakarta ke Kalimantan, mungkin membuka lebih banyak penerbangan terus antarabangsa ke negeri ini, dan seterusnya meningkatkan ketibaan pelancong.

Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak, Datuk Sebastian Ting berkata kerajaan negeri berharap bahawa susulan perkembagan terbaharu itu, ia membolehkan Sarawak mewujudkan dasar langit terbuka yang telah lama diharapkannya.

“Pada masa ini, syarikat penerbangan yang mengadakan perkhidmatan ke Malaysia, perlu melalui Kuala Lumpur, hentian pertama untuk memasuki Malaysia, dan hanya selepas itu, boleh terbang ke Kuching dan ke Sabah.

“Kami berharap pada masa depan, harus ada penerbangan terus, dasar langit terbuka, lebih banyak penerbangan dan lebih banyak kesalinghubungan, ini sangat baik untuk Sarawak,” kata beliau kepada Bernama.

Beliau menarik perhatian kepada pandangan yang sama semasa sesi satu Sidang Kemuncak Perniagaan dan Ekonomi Antarabangsa Sarawak di sini, bertajuk “Masa Depan Sarawak – Apa Seterusnya? Apa Yang Akan Berlaku”. Pengerusi Bernama Datuk Seri Azman Ujang menjadi moderator pada sesi itu, hari ini.

Sebastian berkata, dalam usaha untuk membawa lebih ramai pelancong, kerajaan negeri sedang berusaha untuk mengadakan lebih banyak penerbangan sewa khas antarabangsa ke negeri ini.

“Menteri berkenaan sedang mengkaji pada November tahun ini untuk syarikat penerbangan dari China mengadakan penerbangan terus dari Shenzen ke Kuching.

“Penerbangan itu boleh singgah di Kuching sebagai hentian pertama, bandar kedua ialah Miri dan kemudian ke bandar-bandar lain,” katanya.

Sebastian berkata pengumuman Presiden Indonesia, Joko Widodo, untuk memindahkan ibu kota negara itu ke Kalimantan yang mempunyai sempadan bersama dengan Sarawak dan Sabah, pasti memberi petanda baik untuk kerajaan negeri.

“Jika anda melihat lima tahun lagi, 10 tahun, 15 tahun, tempat itu (ibu negara baharu Indonesia) akan dibangunkan dan kita akan berkongsi sempadan bersama dengan Kalimantan dan bandar terdekat adalah Kapit di sebelah Sarawak.

“Jika anda melihat kepada kesalinghubungan akhirnya, potensi seperti itu, pasti sangat baik untuk Sarawak, aktiviti dan potensi mempunyai penduduk yang lebih besar apabila mereka berpindah ke ibu negara baharu dan dari kawasan itu, perdagangan antara kedua-dua negara akan memberi manfaat, ” katanya.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link