[ad_1]

KUALA LUMPUR: Tujuh Ketua Pemuda Umno bahagian dari Selangor dan Kuala Lumpur membuat aduan kepada lembaga disiplin dan mendesak agar Ahli Majlis Tertinggi parti itu Datuk Lokman Noor Adam disiasat kerana melanggar disiplin parti.

Mereka mendakwa Lokman sebagai ahli dan juga Ahli Majlis Tertinggi Umno telah melanggar disiplin parti kerana mempertikai keputusan yang dibuat pimpinan berhubung siasatan lembaga disiplin terhadap bekas Naib Presiden, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut Ketua Pemuda Umno Bahagian Subang, Mohd Alfie Zainal Abidin, Lokman wajib memelihara nama baik, rahsia, patuh dan mengikut perintah parti seperti yang termaktub dalam perlembagaan dan kod etika ahli.

Lokman didakwa telah melanggar fasal tersebut dengan memanaskan isu peletakan jawatan Mohamed Apandi Ali sebagai Pengerusi Lembaga Disiplin Umno.

“Lokman juga telah mempertikai keputusan Majlis Tertinggi berkaitan prosiding lembaga disiplin terhadap Ketua Umno Bahagian Sembrong, Hishammuddin Hussein di media massa, dan ini jelas telah memberikan kesan kepada parti,” katanya kepada The Malaysian Insight.

BACA: Dipanggil Lembaga Disiplin UMNO: Hendak siasat, siasatlah – Hishammuddin

Alfie juga menjelaskan, Lokman yang memegang jawatan dalam UMNO seharusnya faham dengan disiplin parti dan menggunakan saluran dalaman untuk menyelesaikan sebarang pertikaian, dan bukannya melalui media sosial.

Selain kes berkaitan Hishammuddin dan kritikan terhadap Zahid, Alfie dan tujuh pengadu lain turut mengadu beberapa kenyataan Lokman mengkritik timbalan presiden Mohamad Hasan dan Ketua Pemuda Umno Asyraf Wajdi Dusuki secara terbuka.

Selain Mohd Alfie, enam lagi yang membuat aduan terhadap Lokman ialah ketua Pemuda Bahagian iaitu Zulkifli Rajalie (Ampang), Shah Zanuriman Nuar Paras Khan (Selayang), Ahmad Feardaus Daud (Gombak), Mohd Neezam Abdul Aziz (Pandan), Mohamad Syahir Mohd Yusof (Hulu Langat), Ashrul Ashryzad Mohd Nashri (Bandar Tun Razak) dan Mohd Khairul Nizam Mohd Isa (Bukit Bintang).

Selain tujuh ketua pemuda ini, seorang ahli jawatankuasa Pemuda Umno Bahagian Subang, Izzat Zabir Sarif turut membuat aduan yang sama.

Minggu lalu, menerusi sebuah video Lokman meluahkan rasa kecewanya kerana prosiding yang sepatutnya dijalankan terhadap Hishammuddin tidak dapat dijalan tanpa sebarang alasan yang jelas.

Beliau secara terbuka menamakan Presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sebagai individu yang menghalang siasatan tersebut.

BACA: Apandi Ali umum letak jawatan, tak rela jadi ‘kuda tunggangan’ dalam Umno

Ekoran dari prosiding terhadap Hishammuddin tidak dapat diteruskan, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengumumkan peletakan jawatannya dan mendakwa terdapat campurtangan pimpinan tertinggi dalam prosiding tersebut.



[ad_2]
Source link