IPOH: Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berpendapat pembelian kereta Toyota Camry oleh kerajaan negeri baru-baru ini tetap berpatutan walaupun dikatakan tidak mendapat pengecualian cukai.

Mengulas lanjut laporan media mengenai Kementerian Kewangan hari ini, beliau berkata, pembelian Toyota Camry oleh beberapa negeri baru-baru ini tidak mendapat pengecualian cukai kerana ia bukan dipasang dalam negara.

‘Saya tak tak pasti kalau MOF dah sebut itu, tetapi makluman yang saya terima sebelum ini bahawa kerajaan negeri memang sedang berusaha untuk mendapatkan pelepasan cukai tersebut.

“Namun jika tidak mendapat pelepasan cukai pun, pembelian kereta baru-baru ini saya kira berpatutan. Dengan perjanjian yang diberikan syarikat kenderaan tersebut iaitu lima tahun penyelenggaraan percuma (dapat) mengurangkan lagi perbelanjaan kerajaan negeri dari segi penggunaan kenderaan untuk para exco dan menteri besar,” ujar Ahmad Faizal.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di taklimat Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) di Ipoh pada Selasa.

Katanya lagi, perkara tersebut juga akan dibangkitkan di mesyuarat exco kerajaan negeri yang akan diadakan pada Rabu.

Exco Perak, Asmuni Awi, bulan lalu memberitahu Dewan Undangan  Negeri, penjimatan tersebut dibuat kerana kerajaan negeri menerima rebat serta beberapa diskaun lain dengan nilai keseluruhan
RM81,000 setiap unit.

Mengenai perolehan yang dibuat Kerajaan Perak, Kementerian Kewangan berkata, pihaknya tidak pernah menerima permohonan untuk pengecualian duti atau cukai atas perolehan Toyota Camry import tersebut.

Katanya, kelulusan juga tidak pernah diberikan kepada Kerajaan Perak berhubung pengecualian duti atau cukai yang terlibat.





Source link