KUCHING: Pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) dikhuatiri beri impak negatif kepada golongan muda di Malaysia.

Ini yang disuarakan Pengerusi Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam Malaysia (Cuepacs) Ahmad Malie ketika ditemui di Kuching pada Khamis.

Jelasnya, kelompongan jawatan perkhidmatan awam di Malaysia khususnya di Sarawak mungkin akan berlaku.

Pemansuhan ini secara tidak langsung mempengaruhi golongan muda untuk berkhidmat dalam perkhidmatan awam.

“Ia akan menyebabkan kurangnya anak-anak muda kita yang berkelayakan berminat untuk mengisi jawatan tersebut kerana mereka lebih gemar untuk mencari peluang-peluang pekerjaan yang lain di luar negara.

“Kerana dengan kelayakan yang ada, mungkin mereka mendapat imbuhan, ganjaran yang lebih besar daripada tempat-tempat yang lain di luar negara,” ujar Ahmad.

Tambahnya, BIPK yang berkuat kuasa ke atas penjawat awam baharu tahun 2020 akan cetus persekitaran kerja yang kurang kondusif, melibatkan emosi dan hasil kerja yang tidak dinamik .

“Kita khuatir ia akan menimbulkan satu rasa cemburu ataupun rasa tidak puas hati dalam kalangan penjawat awam yang baru dilantik. Kenapa mereka tidak dibayar sedangkan rakan-rakan senior mereka dibayar? Jadi ini akan menimbulkan suasana yang tidak begitu mesra dalam sistem perkhidmatan kita,” ujar beliau.

Bagi pihak Cuepacs negeri Sarawak, Ahmad menyarankan agar pihak Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) membincang semula isu ini dengan pihak Cuepacs pusat agar ia dapat memberi kebaikan kepada kebajikan penjawat awam secara adil dan menyeluruh.





Source link