[ad_1]

KUALA KANGSAR: Pelantikan bekas Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat BN diibaratkan campak spanar ke dalam mesin yang sedang berjalan.

Bekas Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, pelantikan berkenaan dibimbangi akan menjejaskan kerjasama antara parti berkenaan bersama Pas yang dijalinkan sekarang.

“Apabila saya buat kenyataan tidak bersetuju, orang ramai marah saya kerana budaya UMNO masih tidak sedar dan masih lagi dengan sistem malu alah, mungkin termakan budi banyak sekali dengan mantan presiden hingga tidak dapat buat kesimpulan.

“Saya ingin ingatkan kesetiaan kita bukan kepada individu tapi kepada parti kita UMNO dan saya setia pada Najib sebelum ini kerana dia merupakan presiden ketika itu,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Padang Rengas 2019 di Kem PLKN Kota Lama, Sauk, di sini hari ini.

Menurut Mohamed Nazri pelantikan Najib tidak dirunding bersama Ahli Majlis Tertinggi UMNO serta mendapatkan persetujuan daripada Pas dan kesemua mereka turut terkejut dengan tindakan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

“Saya nak beritahu kepada Zahid bahawa perwakilan memilih kamu menjadi Presiden UMNO maka buat kerja untuk kepentingan parti yang telah menjalinkan kerjasama dengan Pas.

“Teruskan usaha ini tetapi jangan jadi ‘Setiausaha Politik’ kepada Najib dan kami mahu Zahid jaga kepentingan parti tak boleh buat sesuka hati, mesti runding dahulu,” katanya.

Tambahnya, sebagai presiden parti Ahmad Zahid perlu berunding dengan Ahli Majlis Tertinggi UMNO sebelum membuat keputusan berkenaan namun beliau tidak berbuat demikian.

“Saya tanya naib presiden dia cakap tidak tahu begitu juga ahli majlis tertinggi juga tidak tahu, mana ada pengerusi lembaga penasihat dalam BN jadi saya memang cukup tidak berpuas hati.

“Pelantikan begini juga mesti tanya pada Pas, kalau ambil Najib Pas okay ka, kena tanya kerana saya bimbang dalam soal ini,” katanya.



[ad_2]
Source link