KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjelaskan, pelantikan Bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed sebagai Pengerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju) disebabkan oleh pengalaman ahli parlimen itu di dalam kerajaan sebelum ini.

Ujar Tun Mahathir, kerajaan Pakatan Harapan (PH) memerlukan pemimpin yang mempunyai pengalaman seperti Ahli Parlimen Jeli itu.

“Dia mempunyai pengalaman, di dalam kerajaan kita ada beberapa pemimpin yang berpengalaman. Jadi kita perlukan pemimpin seperti dia,” kata Perdana Menteri dalam sidang media selepas melancarkan Kompleks Balai Islam Tenaga Nasional Berhad (TNB) di ibu negara  pada Khamis.

Pengumuman perlantikan Mustapa itu dibuat Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Azmin Ali pada Rabu.

Ia berkuatkuasa 1 Disember tahun lalu untuk tempoh dua tahun.

Jelas Mohamed Azmin, perlantikan itu berhubung pengalaman dan kepakaran Mustapa yang diyakini mampu membawa agenda ekonomi Bumiputera dan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030.





Source link