BOSTON: Pelakon dalam siri sitkom popular Amerika, Full House, Lori Loughlin dan suaminya, seorang pereka fesyen, Mossimo Giannulli mengaku bersalah pada Jumaat atas tuduhan berkaitan skandal kemasukan ke sebuah kolej di Amerika Syarikat (AS).

Perbicaraan di Mahkamah Persekutuan diadakan melalui Zoom kerana wabak COVID19.

Pasangan itu sebelum ini menafikan terlibat dalam skandal berkenaan, yang melibatkan golongan ibu bapa berpendapatan tinggi yang memberi rasuah untuk membolehkan anak-anak mereka diterima masuk ke kolej berprestij dengan cara memalsukan keputusan peperiksaan mereka.

Loughlin dan suami dituduh memberi suapan sebanyak AS$500,000 (RM2.1 juta) untuk membolehkan dua anak perempuan mereka masuk ke University of Southern California sebagai rekrut pasukan mendayung, walaupun kedua-duanya tidak pernah terbabit dalam sukan berkenaan.

Loughlin, yang dikenali dengan pembawaan watak Rebecca Katsopolis dalam Full House dan kemudian versi rebootnya Fuller House, mengaku bersalah dan bersetuju untuk dijatuhkan hukuman dua bulan penjara, denda AS$150,000 (RM654,525) dan pembebasan bersyarat 24 bulan yang akan merangkumi 100 jam khidmat masyarakat.

Giannulli pula bersetuju untuk menjalani lima bulan penjara, denda AS$250,000 (RM1.09 juta), pembebasan bersyarat dua tahun dan 250 jam perkhidmatan masyarakat.

Bagaimanapun, Hakim Daerah, Nathaniel Gorton masih boleh mengubah hukuman tersebut.

Kedua-dua perjanjian pengakuan Loughlin dan Giannulli merangkumi peruntukan khas yang membolehkan mereka melakukan hujahan bahawa terdapat salah laku pendakwaan ketika prosedur undang-undang diambil.

Pasangan ini dijadualkan dibicarakan secara berasingan pada 21 Ogos depan.




Source link