IPOH: Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Perak, Paul Yong Choo Kiong akhirnya bersetuju untuk bercuti daripada menjalankan tugas-tugas rasmi sebagai Exco.

Menurutnya, beliau mengambil keputusan itu untuk memberi tumpuan kepada perbicaraan bagi membersihkan namanya dan membuktikan bahawa beliau tidak bersalah.

“Saya juga merasakan bahawa perlu untuk mendahulukan kepentingan negeri, seperti yang saya selalu lakukan dalam kerjaya sebagai ahli politik.

“Saya akan memaklumkan keputusan ini kepada Menteri Besar (Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu) hari ini,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan tengahari ini.

Pada Jumaat, Paul Yong yang menghadapi dakwaan merogol pembantu rumah warga Indonesia bulan lalu menegaskan tidak akan bercuti walaupun dinasihatkan oleh Ahmad Faizal.
 
Menurutnya, tidak ada sebab untuknya bercuti kerana beliau bukan penjenayah.

Dalam kenyataan terbaru hari ini, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh itu menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan terhadapnya yang disifatkan tidak berasas.

“Saya tetap berpandangan bahawa ini adalah sekadar konspirasi politik terhadap saya dan ia memberi kesan yang mendalam kepada saya, keluarga dan rakan-rakan,” ujarnya.

Paul Yong berkata, beliau telah mengarahkan peguam-peguamnya untuk mendapatkan tarikh perbicaraan dalam masa terdekat untuk membersihkan namanya secepat mungkin.

Dalam masa yang sama, katanya, beliau akan terus menjalankan tugas sebagai ADUN Tronoh seperti biasa.





Source link