KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memaklumkan hanya boleh menemu bual tujuh daripada 66 saksi yang ditawarkan pihak pendakwaan.

Menurut Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, yang mengetuai pihak pembelaan, ia berikutan kekangan masa di mana pihaknya mempunyai tempoh 21 hari daripada tarikh mahkamah mengarahkan bekas Perdana Menteri itu membela diri.

“Dengan penuh hormat, kami mungkin akan gagal dalam menjalankan tugas kami kepada anak guam kami.

“Sebagai pegawai di Mahkamah Terhormat ini, jika kami tidak memaklumkan bahawa masa yang ada tidak mencukupi untuk melaksanakan semua tindakan yang perlu dan berkesan bagi persediaan kes pembelaan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membaca pernyataan pembukaan kes di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

BACA: Najib tiba untuk bela diri, sejarah pertama bekas PM di kandang saksi

Shafee turut memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan terus menyembunyikan identiti 102 saksi yang memberi kenyataan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Akibat tindakan tersebut kata Shafee, pasukan pembelaan gagal menjalankan temu bual terhadap saksi-saksi tersebut dan memanggil mereka untuk peringkat pembelaan.

Dalam pada itu, Shafee memaklumkan bahawa bekas Presiden UMNO itu akan memberikan keterangan saksi sepenuhnya dalam bahasa Malaysia, hari ini.

Terdahulu, Mohd Nazlan menetapkan 10 hari iaitu 3, 4, 9 hingga 12 dan 16 hingga 19 Disember ini untuk Najib dibicarakan.

Najib memilih untuk membela diri terhadap semua tujuh pertuduhan yang dihadapinya menerusi keterangan bersumpah di kandang saksi.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan jika sabit kesalahan, Najib boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, atau mana yang lebih tinggi.





Source link