[ad_1]

KUALA LUMPUR: Isu yang melibatkan tuntutan hak Sabah dan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) kembali dibangkitkan Ahli Parlimen dari kedua-dua negeri itu pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ia melibatkan beberapa perkara termasuk pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan yang bertujuan mengembalikan status negeri di Sabah dan Sarawak itu sebagai rakan kongsi bersama Semenanjung Malaysia sejajar dengan MA63.

Isnaraissah Munirah Majilis (Warisan-Kota Belud) berkata sekiranya pindaan itu akan dibentangkan semula dalam masa terdekat oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) maka ia akan membawa kegembiraan kepada rakyat di kedua-dua negeri berkenaan.

Jelasnya, ini kerana kegagalan pindaan Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan pada 9 April tahun lepas telah mengecewakan rakyat Sabah dan Sarawak.

“Kita berharap, agar Perdana Menteri akan mempercepatkan hal ini, agar Jawatankuasa Khas Kabinet Untuk Menyemak Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) bukanlah satu kerja yang sia-sia,” katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat.

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini cuba meminda Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan pada 9 April tahun lepas tetapi gagal mendapat majoriti dua pertiga untuk diluluskan di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor akan mengadakan pertemuan dengan Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal secepat mungkin bagi membincangkan tentang MA63.

Ahmad Johnie Zawawi (GPS-Igan) berkata beliau berharap agar isu pindaan itu, tidak harus dilengah-lengkahkan lagi dan perlu diselesaikan segera.

“Begitu juga semua perkara berkaitan hak dan tuntutan Sarawak melibatkan MA63, ianya hendaklah dipercepatkan supaya rakyat Sarawak mendapat kembali hak-hak mereka yang telah lama terhakis sama ada secara sengaja atau tidak sengaja,” katanya.

Datuk Mohamad Alamin (BN-Kimanis) pula mencadangkan supaya kerajaan Persekutuan memperkenalkan legal commitment antara kerajaan negeri Sabah dan Sarawak bagi memastikan setiap tuntutan dalam MA63 dilaksanakan secara jujur dan ikhlas.

Menerusi komitmen undang-undang itu, Mohamad berkata ia perlu dinyatakan secara jelas tentang perincian dan tempoh pelaksanaan tuntutan itu.

“Kita alu-alukan kerajaan pusat untuk terus menerokai kekayaan negeri Sabah, ambil saja kekayaan kami tetapi kembalikan hak kami dan ikutlah perjanjian yang termaktub dalam MA63 dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Persidangan Dewan disambung esok.

— BERNAMA



[ad_2]
Source link