KUALA TERENGGANU: Seorang lelaki didenda RM5,000 kerana memecahkan cermin kereta milik rakan adik perempuannya.

Tertuduh, Adnan Mohd, 39, turut berdepan hukuman enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda dikenakan.

Keputusan itu dibuat Majistret Abdul Hayyi Salim selepas tertuduh mengaku bersalah mengikut seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan kereta jenis Proton Saga.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja  memecahkan cermin kenderaan tersebut dengan niat untuk menyebabkan kerosakan kepada harta yang nilainya RM280.

Perbuatan terbabit didakwa dilakukan 17 Disember lalu di hadapan rumah di Kampung Tualang, Manir, di Kuala Terengganu kira-kira jam 9 malam.

Pendakwaan dikendalikan oleh pegawai pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, ketika kejadian tertuduh berada di rumahnya sebelum dikatakan mengamuk secara tiba- tiba dan bertindak menerajang pintu bilik adiknya.

Masih tidak berpuas hati, tertuduh kemudian mengambil besi di luar rumah sebelum bertindak memecahkan cermin sisi sebelah kiri kereta.

Akibat perbuatan itu, kereta yang dipinjam adiknya daripada rakan turut mengalami kerosakan kemek di bahagian bumbung.




Source link